

ALOR GAJAH – Ketagihan bermain permainan video dalam talian dipercayai menyebabkan seorang gadis berusia 19 tahun di Kuala Sungai Baru dekat sini mengabaikan kehidupan hariannya sehingga tinggal dalam rumah yang kotor dan tidak terurus.
Kisah gadis itu tular sejak semalam menerusi klip yang dimuat naik oleh pengguna TikTok sebelum ia diturunkan semula oleh pemilik akaun tersebut.
Klip berdurasi beberapa minit itu memaparkan keadaan kediaman remaja terbabit yang dipenuhi kotoran sisa barangan, makanan, selain aksesori dipercayai digunakannya untuk bermain permainan video dalam talian.
Lebih mengejutkan, gadis itu juga dipercayai telah menggunakan baldi untuk membuang air besar berikutan keadaan tandas di kediamannya yang tidak terurus.
Kisah berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial yang mempersoalkan keadaan kehidupan gadis berkenaan sehingga kebersihan diri dan kediaman turut terabai.
Difahamkan, remaja itu kini tinggal di rumah berkenaan selepas kehilangan kedua-dua ibu bapanya, manakala kediaman itu terletak di atas tanah pusaka keluarga.
Keadaan rumah tersebut juga dikatakan bukan perkara baharu apabila penduduk kampung dan ahli keluarga sebelum ini didakwa pernah membantu membersihkan kediaman berkenaan beberapa kali sebelum ia menjadi kotor semula.-KOSMO! ONLINE
The post Ketagih ‘game’, gadis 19 tahun jadi pengotor buang najis dalam baldi appeared first on Kosmo Online.


