Gadis tular dijaga nenek Buddha sambung pengajian di UUM

15 Sep 2026 • 3:38 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Gadis tular dijaga nenek Buddha sambung pengajian di UUM

SINTOK – Gadis yang pernah tular kerana kisah kehidupannya bersama nenek beragama Buddha kini melangkah ke fasa baharu apabila menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Nur Hazizah Indrasafri, 24, berkata, dia berasa sangat teruja dan bersemangat untuk menyambung pengajian di UUM dalam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti.

“Namun, hari ini mak tidak dapat datang dan nenek, Ng King Fong, 72, pun sama kerana terlalu jauh. Jadi saya datang bersama keluarga kawan yang turut membantu membayar yuran pendaftaran saya,” katanya ketika ditemui pada pendaftaran pelajar baharu UUM sesi 2026/2027, hari ini.

Menurutnya, walaupun kehidupannya bersama nenek pernah mendapat perhatian ramai termasuk menerima komen negatif di media sosial, perkara itu tidak pernah menjejaskan hubungan mereka.

Malah, katanya, perbezaan agama tidak pernah menjadi penghalang hubungan akrab mereka, sebaliknya neneknya yang beragama Buddha sentiasa menghormati pegangan agama Islam yang dianutinya.

“Kalau nenek sembahyang atau melakukan apa-apa berkaitan agama Buddha, saya tiada masalah dan kalau nenek nampak saya solat di rumah pun begitu juga. Cara makan pula nenek hanya pastikan makanan yang ada di rumah kami adalah halal,” ujarnya.

Nur Hazizah berkata, neneknya turut memahami asas agama Islam selepas dia berkongsi mengenai perkara itu dengannya.

“Saya cerita (komen negatif) juga kepada nenek. Nenek kata jangan pedulikan yang negatif kerana sejak dahulu lagi dia sudah penat berdepan dengan perkara seperti itu. Orang tanya dia kenapa perlu jaga orang berlainan bangsa dan agama. Tetapi bagi nenek, dia tidak kisah semua itu kerana dia fikir saya adalah cucunya,” jelasnya.

Nur Hazizah berkata, dia dibesarkan oleh neneknya sejak bayi selepas ibu bapanya berpisah, manakala bapanya meninggal dunia tahun lalu dan ibunya tinggal berasingan kerana bekerja.

Tambahnya, walaupun sering bertukar tempat kerja, ibunya tetap berusaha menyara keluarga termasuk dirinya, dua adik serta neneknya.

“Sempena sambutan Hari Malaysia esok, saya berharap rakyat negara ini terus mempertahankan perpaduan walaupun mempunyai latar belakang agama dan bangsa yang berbeza,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, seramai 4,982 pelajar baharu diterima masuk untuk mengikuti 47 program pengajian sarjana muda bagi sesi 2026/2027.

“Daripada jumlah itu, seramai 4,661 pelajar tempatan yang terdiri daripada lepasan STPM/Setaraf UPU, lepasan Asasi Pengurusan UUM dan pelajar Inbound Mobiliti Tempatan, manakala 321 orang merupakan pelajar antarabangsa dan Inbound Mobiliti Antarabangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Gadis tular dijaga nenek Buddha sambung pengajian di UUM appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved