Pekebun sawit bimbang gajah liar rosakkan tanaman

LocalEnvironment
19 Oct 2026 • 4:55 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pekebun sawit bimbang gajah liar rosakkan tanaman

SUNGAI SIPUT: Pekebun di Kampung Perlop 1 di sini menanggung kerugian puluhan ribu ringgit apabila tanaman kelapa sawit yang diusahakan mereka rosak dan musnah akibat serangan gajah liar sejak dua bulan lalu.

Seorang pekebun, Mohd. Faiz Ahmad, 40, berkata, daripada keseluruhan 550 pokok kelapa sawit yang ditanam, kira-kira 120 pokok telah dirosakkan haiwan liar berkenaan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan dia menanggung kerugian dianggarkan sebanyak RM17,000.

“Masalah ini sudah kami hadapi sejak dua tahun lalu, namun kehadiran gajah semakin kerap sejak dua bulan kebelakangan ini.

“Saya sudah tidak mampu menanggung kerugian berterusan. Kebun saya juga sudah empat kali ditanam semula, tetapi tanaman tetap dirosakkan gajah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, kedudukan rumah yang berhampiran dengan kebun menyebabkan dia terpaksa menghalau gajah yang datang hampir setiap malam bagi mengelakkan haiwan itu terus merosakkan tanaman.

Malah, dia pernah terserempak dengan haiwan berkenaan ketika berada di kebunnya pada waktu pagi, namun bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Alhamdulillah, saya selamat tetapi keadaan ini membimbangkan kerana saya juga terpaksa berdepan risiko setiap kali menghalau haiwan tersebut,” katanya.

Bagi Mastura Yusuf, 65, dia yang mengusahakan kebun kelapa sawit seluas 12 hektar itu terpaksa menanggung kerugian besar apabila gajah liar mencabut pokok sawit yang baru ditanam selain merosakkan pucuk tanaman.

Katanya, gangguan gajah liar di kebunnya semakin kerap berlaku apabila haiwan itu dikesan menceroboh kawasan tersebut sehingga empat hingga lima kali sepanjang tahun ini, malah ada kala kehadirannya hanya berselang dua hari.

“Tahun-tahun sebelum ini memang ada gajah datang, tetapi tidaklah begitu ketara. Tahun ini, kehadirannya semakin kerap sehingga ada kalanya sampai berhampiran rumah.

“Saya pun ada tanam tebu di depan rumah, semuanya habis dimakan gajah. Itu pun saya tidak kisah sangat, yang saya bimbang ialah pokok kelapa sawit kerana itulah sumber pendapatan kami di sini,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Azlan Adenan, 42, berkata, serangan gajah liar di kawasan berkenaan telah dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Katanya, pihak Perhilitan telah datang ke kawasan berkenaan kira-kira dua minggu lalu dan berada di situ selama seminggu bagi memantau pergerakan haiwan berkenaan.

“Bagaimanapun, gajah berkenaan tidak muncul sepanjang tempoh pemantauan itu, sebaliknya kembali menceroboh kebun penduduk selepas anggota Perhilitan beredar,” katanya. – UTUSAN

 

The post Pekebun sawit bimbang gajah liar rosakkan tanaman appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved