hamden29/07/2026 - 16:51 Kredit Gambar/ www.taiping.my Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Julai - Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan penalti monetari pentadbiran (AMP) sebanyak RM336,000 ke atas The Pacific Insurance Berhad (TPIB) kerana gagal mematuhi keperluan untuk mempunyai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang diluluskan pada setiap masa seperti ditetapkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.
BNM dalam satu kenyataan berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil selepas TPIB didapati gagal mematuhi Seksyen 54(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) apabila jawatan CEO syarikat itu dibiarkan kosong dari 21 November 2024 hingga 23 Mac 2026.
Menurut bank pusat itu, keadaan tersebut berpunca daripada perancangan penggantian kepimpinan yang tidak mencukupi sehingga syarikat gagal mengenal pasti dan mengemukakan calon CEO yang sesuai untuk mendapatkan kelulusan BNM dalam tempoh yang sewajarnya.
"Sepanjang tempoh kekosongan jawatan itu, TPIB telah melaksanakan langkah kawalan bagi memastikan tiada gangguan material terhadap operasi hariannya, termasuk melantik seorang Wakil Dilantik serta memastikan pemantauan berterusan oleh Lembaga Pengarah," katanya.
BNM berkata, TPIB telah melantik seorang CEO baharu yang berkuat kuasa pada 24 Mac 2026 selepas mendapat kelulusan daripada bank pusat.
Dalam menentukan jumlah penalti yang dikenakan, BNM mengambil kira beberapa faktor yang memburukkan dan meringankan kesalahan, termasuk tahap keseriusan pelanggaran, kawalan semasa syarikat bagi memastikan pematuhan terhadap FSA, rekod pematuhan terdahulu serta tindakan pembetulan yang diambil bagi mengelakkan pelanggaran sama berulang.
Pada 9 Jun 2026, TPIB telah menjelaskan sepenuhnya penalti monetari pentadbiran sebanyak RM336,000 yang dikenakan oleh BNM.
BNM menegaskan semua institusi kewangan perlu mengekalkan tahap komitmen yang tinggi dalam memastikan pematuhan terhadap setiap keperluan yang ditetapkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.
"BNM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penyeliaan dan/atau penguatkuasaan yang sewajarnya sekiranya mana-mana institusi kewangan gagal memenuhi keperluan undang-undang atau kawal selia," katanya.
Menurut BNM, tindakan penguatkuasaan terhadap TPIB adalah selaras dengan pendekatan serta proses yang digariskan menerusi dokumen Enforcement Approach yang diterbitkan oleh bank pusat. - DagangNews.com






