KOTA KINABALU – Seekor gajah Pygmy Borneo yang mengalami kecederaan pada bahagian belalai sedang dikesan untuk diselamatkan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, gajah tersebut sebelum ini dipercayai berada di kawasan Felda Kalabakan Selatan, Tawau.
“Ketika Sabah masih berdepan kes kematian seekor gajah Borneo di Tongod yang kini dalam siasatan, saya turut menzahirkan kebimbangan terhadap satu lagi kes melibatkan seekor gajah cedera yang dipercayai berada di kawasan Felda Kalabakan Selatan.
“Kes tersebut mendapat perhatian umum susulan penularan sebuah video di media sosial yang memaparkan seekor gajah dengan kecederaan jelas pada belalainya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya lagi, berdasarkan maklumat yang diterima pihak berkuasa, aduan mengenai gajah tersebut telah dibuat minggu lalu.
“Operasi pencarian dan pemantauan di lapangan kemudian dijalankan pada 13 dan 14 Mei 2026 bagi mengesan haiwan berkenaan.
“Namun, gajah tersebut gagal ditemui sepanjang operasi dijalankan. Memandangkan gajah itu tidak berjaya dikesan, usaha menyelamat tidak dapat dimulakan pada peringkat tersebut,” katanya.
Tambah beliau lagi, tindakan lanjut akan bergantung kepada sebarang maklumat baharu sekiranya haiwan itu dilihat atau berdasarkan laporan tambahan yang diterima dari lapangan.
“Maklum balas awal daripada pasukan veterinar menunjukkan kecederaan melibatkan belalai adalah sangat kompleks.
“Sekiranya prosedur penyambungan semula dipertimbangkan, kemungkinan untuk pemulihan berjaya dan mengembalikan fungsi normal belalai adalah sangat rendah.
“Pakar veterinar turut memaklumkan bahawa usaha menyelamat bukan sekadar melibatkan rawatan segera terhadap luka. Bergantung kepada keadaan gajah tersebut, intervensi mungkin memerlukan pembedahan untuk membuang tisu rosak atau membina semula otot belalai yang koyak, diikuti rawatan intensif selepas pembedahan, rawatan harian, pengurusan pemakanan, penempatan sementara serta pemantauan berterusan selama satu hingga dua minggu,” jelasnya.
Jafry berkata, pemerhatian awal menunjukkan luka tersebut memperlihatkan beberapa tanda penyembuhan walaupun proses penutupan luka tidak berlaku dengan sempurna.
“Pemantauan rapi oleh renjer lapangan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah sedang diteruskan ketika ini.
“Pada peringkat ini, keadaan gajah tersebut belum menunjukkan tanda jangkitan serius yang boleh mengancam kelangsungan hidupnya secara segera. Oleh itu, intervensi veterinar tidak diperlukan buat masa ini,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, langkah rawatan akan diaktifkan sekiranya keadaan bertambah buruk atau timbul komplikasi lanjut.
Beliau turut berkata, setakat ini, punca sebenar kecederaan tersebut masih dalam siasatan.
“Walaupun jerat merupakan antara kemungkinan yang sedang dinilai, ia belum disahkan sebagai punca kecederaan tersebut. Pihak berkuasa turut meneliti kemungkinan lain, termasuk kecederaan akibat objek tajam.
“Antara kemungkinan yang sedang disiasat ialah kecederaan akibat terkena alat penuaian yang digunakan di ladang kelapa sawit, khususnya jika peralatan tersebut tertinggal atau tersangkut di kawasan ladang,” katanya.
Sehubungan itu, Jafry menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi selagi siasatan dan penilaian di lapangan masih berjalan.
“Gajah Borneo merupakan antara spesies hidupan liar paling ikonik di Sabah serta sebahagian penting daripada warisan alam sekitar negeri ini.
“Kami kekal komited untuk memastikan setiap kes melibatkan hidupan liar dikendalikan secara bertanggungjawab, profesional dan berasaskan penilaian saintifik.
“Kementerian saya akan terus bekerjasama rapat dengan JHL Sabah serta semua pihak berkepentingan bagi memantau kes ini dan mengambil tindakan sewajarnya apabila diperlukan,” katanya.
