
Kota Kinabalu: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) memutuskan untuk menawarkan ganjaran RM10,000 kepada mana-mana individu yang tampil memberikan maklumat penting yang membawa kepada penahanan, pendakwaan dan sabitan terhadap mereka yang bertanggungjawab membunuh gajah pygmy Borneo di Sabah.
Mengumumkan perkara ini pada malam Rabu, Menterinya Datuk Seri Christina Liew merayu kepada saksi atau pemberi maklumat untuk tampil dan membantu dalam siasatan yang sedang dijalankan.
“Kami membuat keputusan untuk menawarkan ganjaran RM10,000 pada mesyuarat peringkat menteri pada Rabu berikutan penemuan satu lagi bangkai gajah yang dipenggal kepalanya.
“Ini adalah kes serupa yang ketiga sejak Januari tahun ini. Kami mahukan bukti kukuh mengenai tindakan kejam ini. Sehubungan itu, kami memohon kerjasama orang ramai untuk membuat laporan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah dan polis jika ada individu atau pihak menyaksikan mana-mana kejadian ini supaya kami boleh mendakwa pelaku,” katanya kepada pemberita.



