Gajah liar musnahkan rumah Orang Asli di Pos Bihai

27 Oct 2023 • 4:25 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

GUA MUSANG: Isu ancaman gajah liar yang melanda komuniti Orang Asli di Kampung Bujuk dan Kampung Hak di Pos Bihai di sini semakin meruncing apabila rumah sebahagian mereka dirosakkan haiwan itu.

Antara yang terlibat ialah sembilan daripada 15 keluarga Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Bujuk yang terpaksa berpindah sementara dan menumpang rumah saudara.

Penduduk Kampung Bujuk, Asu Pandak, 65, berkata kediamannya dirosakkan gajah liar menyebabkan beliau sekeluarga terpaksa menumpang rumah saudara di Kampung Tendrik, Pos Bihai.

“Rabu minggu lepas kira-kira 5 pagi, beberapa buah rumah buluh di kampung kami dirosakkan gajah liar. Semua penghuni rumah bernasib baik kerana terjaga dan sempat menyelamatkan diri sebelum ke kampung berhampiran.

“Sebelum ini gajah terbabit hanya merosakkan tanaman kami seperti pisang dan ubi kayu yang menjadi sumber utama makanan kami di sini,“ katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Sementara itu, penduduk Kampung Hak, Apek Asud, 39, berkata dalam kejadian terbaharu semalam, sebuah rumah penduduk dirosakkan mamalia itu yang menyebabkan penghuninya bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Beliau berkata insiden kehadiran gajah, sama ada seekor atau kadangkala sekawan, memusnahkan rumah dan tanaman bukanlah perkara baharu.

Menurutnya hal itu menyebabkan kira-kira 52 keluarga Orang Asli di Kampung Hak dan Kampung Bujuk kini bertambah terhimpit untuk mencari rezeki, apatah lagi terdapat juga ancaman harimau belang di penempatan itu.

“Adakalanya kami rasa putus asa dan tidak tahu ke mana ingin diadukan masalah kami ini kerana kita tahu kawasan tempat tinggal haiwan liar ini semakin berkurang.

“Mohon pihak berkenaan mencari jalan untuk masalah ini dan jangan pula bila berlaku perkara yang tidak diingini baru semua pihak datang bertanya khabar,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata pihaknya akan menyediakan bantuan bakul makanan kepada mereka yang terlibat, selain menggesa pihak berwajib mengambil tindakan segera. -Bernama