
Gaji Habis Tak Mampu Beri Isteri Duit Belanja, Lelaki Terpaksa Buat Laporan Palsu Dakwa Disamun
Taktik seorang pembantu kedai perkakasan yang membuat laporan polis kononnya telah disamun oleh dua lelaki serta mengalami kerugian RM2,200 memakan diri.
Tindakan lelaki berusia 29 tahun asal dari Pahang itu berjaya dihidu polis selepas mendapati laporan yang dibuat lelaki berkenaan adalah palsu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, hasil soal siasat mendapati lelaki tersebut telah kehabisan duit gajinya.
Oleh sebab itu, dia tidak mampu memberikan duit belanja kepada isterinya dan terpaksa mendakwa bahawa dirinya telah disamun.
“Pihak polis mendapati pengadu sebenarnya telah kehabisan duit gaji dan tidak mampu berikan duit belanja kepada isterinya.
“Pengadu kemudian bertindak membuat laporan polis mendakwa disamun. Rantai dan loket emas yang dikatakan turut dilarikan penyamun sebenarnya masih ada di kedai emas dan belum diambil lagi,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Tambah Hanyan, laporan polis yang dibuat oleh lelaki itu telah diterima anggota balai polis Pasir Gajah.
Laporan itu memaklumkan bahawa seorang pengadu telah membuat laporan disamun oleh dua lelaki kira-kira jam 4.20 petang.
Pengadu tidak cedera dan beberapa barangan seperti dompet, rantai dan loket emas disamun ketika kejadian
Kata beliau lagi, pengadu bagaimanapun memberitahu bahawa dia tidak mengalami sebarang kecederaan namun beberapa barangan miliknya telah disamun.
Antara barangan yang didakwa telah disamun adalah dompet, rantai dan loket emas bernilai RM700.
“Pengadu memberitahu dia disamun serta turut diacu pisau pada bahagian leher oleh dua lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal berwarna merah hitam.
“Pengadu juga mengaku tidak dapat mengenal pasti suspek kerana memakai helmet, visor serta jaket berwarna hitam,” katanya.
Susulan kejadian itu, kes telah disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan.
Selain itu, tertuduh juga boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 jika disabit bersalah.
Sumber: Sinar Harian
The post Gaji Habis Tak Mampu Beri Isteri Duit Belanja, Lelaki Terpaksa Buat Laporan Palsu Dakwa Disamun appeared first on Siakap Keli.

