
SHAH ALAM, 12 OKT: Kadar gaji minimum RM2,000 sebulan yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 sudah mendapat persetujuan Majlis Perundingan Gaji Negara yang dianggotai wakil kesatuan pekerja dan majikan.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata kadar berkenaan tidak dipertikaikan di peringkat majlis itu, manakala pertimbangan Jemaah Menteri lebih tertumpu kepada tempoh penyesuaian bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
"Di peringkat majlis itu, terdapat wakil bukan sahaja daripada kesatuan pekerja, tetapi juga daripada majikan. Tahap RM2,000 itu tidak dipertikaikan dan telah dipersetujui.
"Hanya dalam pertimbangan di peringkat Jemaah Menteri, pertimbangan telah diberikan untuk memberi tempoh masa yang lebih panjang sedikit untuk PMKS supaya mereka mungkin akan laksanakan kemudian.
"Kita mulakan dengan syarikat besar dulu sebab kita juga memahami syarikat PMKS juga antara yang terkesan daripada konflik di Asia Barat dan mungkin memerlukan lebih masa untuk membuat penyesuaian model perniagaan masing-masing," katanya seperti dilapor BH.
Johan berkata pendekatan berperingkat itu mengambil kira cabaran yang dihadapi perniagaan kecil, khususnya tekanan kos operasi susulan ketidaktentuan ekonomi global.
Menurutnya, pelaksanaan kadar gaji minimum baharu akan bermula pada Jun 2027 dengan memberi tumpuan kepada syarikat besar terlebih dahulu.
Beliau menjelaskan, peningkatan pendapatan rakyat menjadi antara keutamaan kerajaan memandangkan tekanan kos sara hidup bukan hanya berpunca daripada inflasi, tetapi juga pertumbuhan gaji yang tidak seiring kenaikan harga barangan.
Sehubungan itu, pelaksanaan gaji minimum RM2,000 dilihat sebagai antara langkah meningkatkan pendapatan pekerja bagi membantu mereka menghadapi kos kehidupan yang semakin tinggi.
Dalam pada itu, Johan turut mengingatkan syarikat besar supaya meneliti struktur gaji secara menyeluruh dan tidak hanya memberi kenaikan kepada pekerja berpendapatan paling rendah.
Katanya langkah itu penting bagi mengelakkan pemampatan gaji, iaitu keadaan apabila pendapatan pekerja bergaji rendah meningkat sehingga jurang dengan kumpulan pekerja lain semakin mengecil.
Semakan berkenaan juga perlu mengambil kira kadar gaji permulaan graduan dan pemegang diploma agar setimpal dengan kelayakan serta tahap kemahiran mereka.
Beliau turut menyarankan sektor swasta menjadikan penanda aras gaji sara hidup RM3,400 yang ditetapkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai rujukan dalam menambah baik struktur pendapatan pekerja.





