PMKS Bumiputera bimbang gaji minimum RM2,000 tingkatkan kos operasi

LocalBusiness & Finance
12 Oct 2026 • 9:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PMKS Bumiputera bimbang gaji minimum RM2,000 tingkatkan kos operasi Image from: PMKS Bumiputera bimbang gaji minimum RM2,000 tingkatkan kos operasi amree12/10/2026 - 09:30 Foto kredit Remy Gieling / Unsplash Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Okt — Kenaikan kos buruh menjadi antara cabaran utama yang perlu ditangani pengilang, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera, susulan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 mulai Jun 2027 bagi syarikat berpendapatan RM50 juta ke atas.

 

Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (Pengilang) berpandangan pelarasan gaji itu perlu diseimbang dengan peningkatan produktiviti bagi mengelak tekanan kos operasi berantai, terutama terhadap vendor dan subkontraktor kecil dengan margin keuntungan tipis.

 

Presidennya, Datuk Seri Dr Azman Yusoff berkata, walaupun langkah itu berpotensi meningkatkan kuasa beli rakyat, menarik bakat tempatan dan menggalakkan automasi, industri memerlukan sokongan bersesuaian untuk menangani kenaikan kos serta mengekalkan daya saing.

 

"Sehubungan itu, Pengilang menyambut baik langkah kerajaan memperluaskan akses pembiayaan dan memperkukuh ekosistem PMKS Bumiputera yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2027," katanya dalam kenyataan.

 

Usaha penyediaan pembiayaan mikro berjumlah RM6.6 bilion melalui Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank, TEKUN Nasional dan Majlis Amanah Rakyat (MARA), selain pengukuhan jaminan kredit menerusi Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dijangka membantu pengusaha.

 

Menurut Azman, kemudahan berkenaan boleh membantu mengurangkan kebergantungan kepada cagaran fizikal serta memudahkan PMKS mendapatkan modal kerja bagi membiayai perbelanjaan operasi dan modal, termasuk pelaburan dalam mesin serta peralatan pengeluaran.

 

pengilang_DagangNews2026
Foto kredit Remy Gieling / Unsplash

 

Dalam usaha memperluas pasaran antarabangsa, dana pembiayaan eksport RM1 bilion daripada Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan peruntukan RM60 juta kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) turut dilihat sebagai pemangkin menembusi pasaran halal global.

 

"Pada masa sama, peningkatan peruntukan Jualan Rahmah dan Jualan Agro MADANI kepada RM750 juta dijangka membuka peluang pengedaran lebih luas kepada produk makanan diproses dan barangan tempatan, sekali gus membantu usahawan Bumiputera mendapatkan akses pasaran domestik," katanya.

 

Pengilang ujar Azman turut memuji sokongan geran, insentif cukai bagi automasi serta pendigitalan, termasuk pematuhan e-Invois, selain pengukuhan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi membantu industri beralih kepada pengeluaran bernilai lebih tinggi.

 

Bagaimanapun jelas beliau, keberkesanan semua inisiatif Belanjawan 2027 itu masih bergantung pada kelancaran pelaksanaan di peringkat kementerian dan agensi, selain keupayaan PMKS mengakses pembiayaan serta sokongan teknologi tanpa proses yang membebankan.

 

Justeru, Pengilang menyeru usahawan PMKS Bumiputera segera memanfaatkan kemudahan pembiayaan, dana eksport dan insentif automasi yang disediakan, sambil berharap mekanisme dipermudah bagi memastikan manfaat Belanjawan 2027 dapat dinikmati demi memperkukuh daya saing industri dan ekonomi negara. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved