amree05/11/2026 - 10:10 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov — Kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027 perlu dilihat sebagai sebahagian pendekatan lebih menyeluruh kerajaan bagi mengimbangi kos sara hidup, disiplin fiskal dan kesejahteraan rakyat, menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Tambah beliau, dasar peningkatan gaji itu perlu bergerak seiring dengan pelaksanaan skim bantuan bersasar, rasionalisasi subsidi serta akses kepada penjagaan kesihatan mampu milik bagi memastikan peningkatan pendapatan tersebut benar-benar memberi manfaat kepada isi rumah.
Menerusi Belanjawan 2027 ujar beliau, kerajaan tetap komited memastikan kadar gaji minimum setiap bulan akan dinaikkan majikan daripada hanya RM1,700 kepada sebanyak RM2,000, sekali gus dijangka memberi manfaat besar tambahan kira-kira RM300 sebulan kepada lebih empat juta pekerja.
"Pendekatan tersebut turut dilengkapi dengan langkah perluasan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada hampir 13 juta rakyat Malaysia termasuk kumpulan yang berpendapatan M40, selain usaha rasionalisasi subsidi petrol RON95," jelas Amir Hamzah menerusi akaun sosial Linkedln beliau.
Setakat 22 Oktober 2026 ujar beliau lagi, sebanyak RM3.6 bilion sudah disalurkan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menerusi tiga fasa pembayaran, manakala hampir RM12 bilion bantuan STR dan SARA telah diagihkan secara keseluruhan kepada penerima yang berkelayakan.
Bagi 2027 pula katanya, peruntukan STR dan SARA akan ditingkatkan kepada sejumlah RM16 bilion, dengan bantuan bulanan SARA dinaikkan kepada sebanyak RM150 atau kira-kira RM1,800 setahun.

Selain itu jelas Amir Hamzah, kerajaan menyasarkan pelancaran skim insurans perubatan dan takaful mampu milik MediAsas pada akhir Januari 2027, selain memperuntukkan RM200 juta bagi memperkukuh program rawatan pesakit melalui penyumberan luar untuk mengurangkan tempoh menunggu.
Mengulas lanjut menerusi hantaran di LinkedIn berhubung pandangannya dalam sebuah paltform audio siar kewangan, beliau menegaskan bahawa setiap dasar berkenaan tidak boleh dinilai secara berasingan kerana masing-masing berperanan mengimbangi kesan dasar ekonomi yang lain.
"Pada masa sama, kerajaan turut perlu membuat keputusan sukar berkaitan subsidi, disiplin fiskal dan kecukupan hasil negara bagi memastikan beban kewangan tidak terus diwariskan kepada generasi yang akan datang," kata beliau.
Di samping itu, Amir Hamzah memberi amaran bahawa jurang pendapatan yang semakin melebar boleh mencetuskan masalah sosial lebih besar sekiranya tidak ditangani menerusi dasar ekonomi yang bersesuaian, termasuk bantuan kewangan dan peningkatan gaji.
Menurutnya, hala tuju kerajaan berteraskan dua matlamat utama, iaitu membina ekonomi yang mampan serta memelihara keharmonian sosial, dengan setiap dasar perlu dilaksanakan secara seimbang dan saling melengkapi seperti sebuah orkestra bagi memastikan kestabilan ekonomi negara. - DagangNews.com





