‘Gaji rendah untuk graduan Sabah membimbangkan’

LocalPolitics
13 Mar 2025 • 9:36 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Abbey Junior

Kota Kinabalu: Gaji RM1,800 dianggap “terlalu tinggi” untuk graduan adalah tidak munasabah, kata Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau menyeru agar satu kajian menyeluruh terhadap struktur gaji dilakukan serta sokongan lebih kukuh diberikan kepada golongan profesional muda bagi memastikan mereka mendapat peluang pekerjaan yang adil.

Bung Moktar menegaskan bahawa isu gaji rendah untuk graduan di Sabah perlu diberi perhatian segera kerana ramai golongan profesional muda bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata, adalah tidak adil bagi graduan yang memiliki kelayakan akademik ditawarkan gaji tidak setimpal dengan kelayakan mereka serta realiti ekonomi negeri. “Kenyataan bahawa RM1,800 terlalu tinggi untuk graduan adalah tidak boleh diterima. Kos sara hidup di Sabah telah meningkat dengan ketara, dan golongan profesional muda tidak sepatutnya dipaksa menerima gaji yang hampir tidak mencukupi untuk keperluan asas mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menggesa kerajaan negeri, industri dan majikan untuk menilai semula struktur gaji, khususnya bagi graduan baharu.

Katanya, kadar gaji perlu disesuaikan dengan peningkatan kos sara hidup, dan majikan mesti bertanggungjawab dalam menawarkan gaji yang adil dan berpatutan berdasarkan kelayakan akademik serta pengalaman.

Bagi menangani isu ini, Bung Moktar mencadangkan agar kerajaan negeri memperkenalkan insentif atau subsidi kepada majikan yang menawarkan gaji lebih tinggi kepada graduan tempatan. Langkah ini, katanya, akan menggalakkan sektor swasta menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik, selain membantu merapatkan jurang pendapatan dalam kalangan belia Sabah.

Beliau turut mencadangkan agar program latihan dalam sektor berpermintaan tinggi seperti teknologi, keusahawanan, dan industri kreatif diperluaskan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Kerjasama yang lebih erat antara kerajaan negeri dan sektor swasta, katanya, adalah penting bagi mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti dalam industri utama seperti pelancongan, pertanian moden, pembuatan, dan teknologi digital.

“Pelaburan dalam infrastruktur, terutamanya akses internet berkelajuan tinggi dan hab inovasi, juga sama penting. Ini akan merangsang pertumbuhan industri baharu yang memerlukan kemahiran digital dan teknikal, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk graduan,” tambahnya.

Selain itu, Bung Moktar menggesa kerajaan negeri untuk menawarkan bantuan kewangan atau geran kepada graduan yang berminat memulakan perniagaan sendiri.

Beliau berkata, galakan terhadap keusahawanan bukan sahaja akan memberikan laluan kerjaya alternatif kepada belia Sabah, tetapi juga dapat menjana lebih banyak peluang pekerjaan untuk orang lain.

“Pendekatan yang holistik dan jangka panjang diperlukan untuk menyelesaikan isu gaji rendah bagi graduan. Kerajaan negeri, sektor swasta, dan masyarakat mesti bekerjasama untuk memastikan belia Sabah mendapat akses kepada peluang yang lebih baik serta kualiti hidup yang lebih tinggi, selaras dengan pendidikan dan usaha mereka,” tambahnya.