
Kota Kinabalu: Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan segera dan serius berikutan krisis bekalan air yang semakin kritikal terutamanya menjelang Aidilfitri.
Bung, yang juga bekas Menteri Kerja Raya Sabah, memberi amaran bahawa gangguan bekalan air yang berterusan ditambah dengan sambungan haram yang berleluasa, memburukkan keadaan dan membebankan rakyat. Beliau menegaskan isu ini telah berlarutan terlalu lama dan memerlukan campur tangan segera.
“Saya sekali lagi mengingatkan Kerajaan Sabah untuk lebih serius dalam menangani isu bekalan air yang telah lama menjadi masalah utama rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, Rabu.
Bung turut menyuarakan kebimbangan mengenai masalah sambungan air haram dan kecurian meningkat di beberapa kawasan, menyatakan aktiviti ini bukan sahaja memburukkan lagi krisis air tetapi juga menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan dan pengguna sah.
“Saya ingin bertanya kepada Jabatan Air Sabah, sejauh mana siasatan terhadap sambungan haram ini dijalankan? “Berapa ramai telah didakwa atas kesalahan ini?” soalnya. “Adakah jabatan akan terus berselindung di sebalik alasan sambungan haram adalah punca kekurangan air, sedangkan masalah ini sudah lama wujud tanpa penyelesaian sebenar?”
Beliau menegaskan kerajaan negeri mesti mengambil tindakan tegas dengan memperkukuhkan penguatkuasaan dan menangani punca utama sambungan haram.
Pada masa yang sama, pihak berkuasa perlu melaksanakan langkah-langkah berkesan untuk meningkatkan kapasiti dan kecekapan sistem bekalan air di seluruh negeri.
“Rakyat tidak sepatutnya terus menanggung beban akibat bekalan air yang tidak mencukupi, terutama ketika musim perayaan,” katanya.
Bung menambah Umno Sabah akan terus mendesak tindakan segera bagi menyelesaikan krisis ini demi memastikan kebajikan rakyat diberi keutamaan.


