
Gaji RM7,000 Sudah Jadi T20 Di Kelantan, Kedah
Mana-mana isi rumah di Kelantan dan Kedah yang memperoleh pendapatan kasar RM7,000 sebulan ke atas sudah dikategorikan dalam kelompok 20 peratus teratas (T20).
Menurut Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah 2024 yang diterbitkan Perangkaan Malaysia (DOSM), pendapatan isi rumah bagi kategori T20 di Kelantan ditetapkan RM7,000 ke atas, manakala Kedah pula RM7,820 ke atas.
Gaji 7K Dah Jadi T20 Di Kelantan & Kedah
Ini bermakna isi rumah di Kelantan dengan pendapatan RM7,000 sebulan telah pun beralih ke kategori T20, memandangkan had M40 di negeri itu adalah antara RM3,520 hingga RM6,999.
Trend yang sama berlaku di Kedah, di mana had B40 bermula di bawah RM3,940, manakala kumpulan M40 berada dalam julat RM3,940 hingga RM7,819, dan T20 bermula daripada RM7,820.
Data tersebut mendedahkan jurang ekonomi yang ketara antara negeri, di mana ambang kelayakan T20 di kawasan luar bandar jauh lebih rendah berbanding pusat bandar utama
Sebagai contoh, di Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya, isi rumah memerlukan pendapatan antara RM16,040 hingga RM19,030 untuk diklasifikasikan sebagai T20.
Angka ini begitu kontras dengan negeri seperti Perlis, Perak, dan Pahang yang menetapkan ambang T20 pada paras RM8,000 sahaja.
Sementara itu, Johor dan Pulau Pinang kekal sebagai negeri dengan kos sara hidup tinggi di luar Lembah Klang dengan ambang T20 masing-masing pada RM13,560 dan RM12,680,
Secara nasional, DOSM menetapkan kategori B40 pada pendapatan isi rumah kurang RM5,860, M40 (RM5,860-RM12,679), manakala T20 (bermula RM12,680).
Senarai Tangga Gaji T20 Mengikut Negeri
Kelantan (RM7,000 ke atas)
Kedah (RM7,820 ke atas)
Perlis (RM8,010 ke atas)
Pahang (RM8,090 ke atas)
Perak (RM8,220 ke atas)
Sabah (RM9,160 ke atas)
Sarawak (RM9,710 ke atas)
Terengganu (RM9,790 ke atas)
Negeri Sembilan (RM9,980 ke atas)
Melaka (RM11,560 ke atas)
Wilayah Persekutuan Labuan (RM11,630 ke atas)
Pulau Pinang (RM12,680 ke atas)
Johor (RM13,560 ke atas)
Selangor (RM16,040 ke atas)
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM17,030 ke atas)
Wilayah Persekutuan Putrajaya (RM19,030 ke atas)

