ENTAH di mana silapnya, masyarakat kita hari ini seolah-olah sudah hilang ‘brek’ dalam berkongsi rasa perjalanan hidup. Media sosial yang sepatutnya menjadi alat penghubung yang baik, kini bertukar menjadi diari terbuka tempat meluahkan segala rahsia dan pekung di dada.
Lebih menghairankan, ada juga yang kini lebih selesa mengadu nasib atau mencari jalan penyelesaian kepada masalah peribadi menggunakan kecerdasan buatan (AI) daripada berinteraksi dengan insan lain yang lebih memahami perkara sebenar.
Merak Jalanan bukan mahu menolak teknologi, tapi yang jadi masalahnya apabila jawapan yang diberikan AI ditelan bulat-bulat tanpa berfikir panjang. Ingat, teknologi itu sekadar rujukan, bukannya penentu nasib dan jalan hidup kita.
Baru-baru ini, Merak Jalanan perhatikan menjadi satu trend yang agak membimbangkan. Ramai yang tanpa segan silu menjaja kisah duka keluarga atau konflik peribadi di media sosial.
Alasannya mudah sahaja, mahu minta pendapat atau berkongsi dengan mereka yang lebih berpengalaman.
Paling merisaukan, ada yang sampai bercerita soal rahsia bilik tidur atau masalah rumah tangga yang sangat sensitif. Bayangkan jika luahan itu dibaca oleh anak-anak yang semakin membesar, saudara-mara, atau jiran tetangga. Di mana kita mahu letak muka?
Benar, teknologi memang berkembang pesat, tetapi janganlah sampai rasa malu kita makin menyusut.
Media sosial bukan gelanggang untuk menceritakan segala-galanya kepada dunia. Simpanlah sedikit privasi itu sebagai maruah diri. Jangan biarkan teknologi maju, tapi adab kita ke belakang.
Fikir-fikirkanlah!
