'Gaji saya sebulan, dia sehari shooting' – Syed Saddiq tak paksa Bella tinggalkan dunia seni, dedah sebab enggan tunang sertai politik

LocalEntertainment
21 Apr 2026 • 10:23 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Gaji saya sebulan, dia sehari shooting' – Syed Saddiq tak paksa Bella tinggalkan dunia seni, dedah sebab enggan tunang sertai politik

BUAL biacara ini membuka sisi seorang ahli politik yang selama ini dilihat serius dan penuh disiplin, kepada ruang lensa yang lebih santai dan peribadi. 

Ia bukan sekadar tentang jawatan atau dasar, tetapi juga tentang kehidupan, cinta serta usaha mencari keseimbangan antara kerjaya dan impian dua insan.

Dalam satu sesi podcast Lebih Masa, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini berkongsi pandangan jujur mengenai realiti hidupnya sebagai seorang ahli politik muda, termasuk cabaran yang sering tidak dilihat umum, terutama apabila dikaitkan dengan pasangan yang juga mempunyai kerjaya dalam dunia seni.

Perbualan tersebut turut menyentuh isu yang menjadi tanda tanya netizen, iaitu mengenai kerjaya Bella selepas bergelar isteri kepada beliau. 

Image from: 'Gaji saya sebulan, dia sehari shooting' – Syed Saddiq tak paksa Bella tinggalkan dunia seni, dedah sebab enggan tunang sertai politik

Namun, apa yang dikongsikan Syed Saddiq jauh lebih dalam daripada sekadar spekulasi.

“Bila saya diberikan peluang juga untuk bekerja di luar skop politik, walaupun kebanyakan dana itu disumbang balik kepada Muar, saya perasan orang ingat politik ini bayarannya banyak. 

"Tapi sebenarnya, pada masa tertentu, saya yakin ramai pun tahu kita perlu berbelanja lebih banyak, kecuali kalau kita mahu bermain dengan politik lama. Gaji di luar jauh lebih baik,” katanya.

Beliau turut berkongsi perbandingan yang cukup terbuka mengenai perbezaan pendapatan antara dunia politik dan dunia hiburan yang diceburi pasangannya.

“Saya pernah berkongsi dengan tunang saya, kalau Bella pergi buat konsert atau menyanyi, satu malam itu boleh bersamaan dengan gaji saya sebulan. 

"Bila saya buat penggambaran sekarang, satu hari shooting itu boleh jadi dua atau tiga bulan gaji sebagai ahli Parlimen. Cuma bezanya, ia tak stres,” ujarnya jujur.

Namun di sebalik perbandingan itu, ada sisi yang lebih berat untuk dipikul, hilang privasi, tekanan media sosial dan serangan dari pelbagai arah.

“Privasi hilang, kena serang kiri kanan. Banyak perkara perlu difikirkan tentang masa depan. 

"Saya juga tidak mahu saya seorang sahaja kejar impian, tetapi dalam masa sama mengorbankan impian pasangan (Bella). Itu tak betul. Itu tidak adil,” katanya lagi.

Menurutnya, dalam sesebuah hubungan, impian kedua-dua pihak perlu diberi ruang untuk berkembang tanpa ada yang terpaksa berkorban secara total.

Image from: 'Gaji saya sebulan, dia sehari shooting' – Syed Saddiq tak paksa Bella tinggalkan dunia seni, dedah sebab enggan tunang sertai politik

“Dan saya tak mahu impian saya menyebabkan impian pasangan terkubur. 

"Sebagai wanita yang berkerjaya, Bella juga lebih baik daripada saya dalam banyak perkara. Jadi memang tidak adil,” tambahnya.

Beliau juga menolak tanggapan bahawa pasangan perlu berhenti daripada dunia seni selepas berkahwin dengannya.

“Ada segelintir pihak yang kata selepas ini Bella tidak boleh berlakon, tidak boleh menyanyi, tidak boleh berada di depan umum kecuali acara rasmi.

"Saya tidak setuju. Itu tidak adil. Impian saya tidak sepatutnya memadam impian dia,” jelasnya.

Bagi Syed Saddiq, hubungan bukan tentang mengikat kebebasan, tetapi memahami pengorbanan dan mencari jalan tengah yang saling menghormati impian masing-masing.

“Saya lebih risau kalau keterbukaan saya ini menyekat atau menimbulkan kemarahan pasangan dalam mengejar impiannya. 

"Tapi itulah trade-off dalam hidup. Saya tidak menolak pandangan itu,” katanya.

Image from: 'Gaji saya sebulan, dia sehari shooting' – Syed Saddiq tak paksa Bella tinggalkan dunia seni, dedah sebab enggan tunang sertai politik

Membuka sisi peribadi

Dalam nada yang lebih ringan, beliau turut berkongsi sisi peribadi kehidupan mereka yang saling menyokong antara satu sama lain.

“Saya mahu kami berdua kejar impian masing-masing. Bella ajar saya menari, saya tak ajar dia Parlimen,” katanya berseloroh.

Tambahnya lagi, beliau tidak mahu pasangannya terjun ke dunia politik secara paksa atau tekanan luar.

“Kalau boleh, saya tak mahu dia masuk politik. Cukuplah saya seorang. Kalau orang kata inilah jalan untuk saya bawa dia masuk politik, tidak sama sekali. 

"Dia boleh ajar saya menari, tapi dia tak perlu masuk politik,” katanya.

Image from: 'Gaji saya sebulan, dia sehari shooting' – Syed Saddiq tak paksa Bella tinggalkan dunia seni, dedah sebab enggan tunang sertai politik

Beliau turut menyentuh tentang personaliti dan latar tokoh wanita lain yang sering dibandingkan dalam perbualan umum.

“Bella tidak perlu jadi seperti Kak Wan yang memang seorang yang luar biasa, tetapi saya tidak mahu Bella melalui apa yang beliau (Kak Wan) lalui,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau lebih selesa melihat pasangan masing-masing berkembang dalam bidang sendiri sambil menyokong antara satu sama lain dari belakang tabir.

“Saya cuma ajak dia bersukan, mendaki Gunung Kinabalu. Lepas ini mungkin gunung lain pula. Dia ada semangat ‘iron woman’,” katanya sambil ketawa kecil.

Beliau turut berkongsi tentang minat anak lelaki tunanganya itu yang aktif dan penuh rasa ingin tahu.

“Aiden memang luar biasa. Umur sembilan tahun, dia bukan sekadar pandai, tetapi juga kreatif. 

"Dia guna ChatGPT, tengok YouTube pun bukan benda kosong, dia suka dokumentari pendek yang menarik. 

"Dalam masa sama, dia sangat aktif bersukan, sudah join iron kids,” katanya.

Image from: 'Gaji saya sebulan, dia sehari shooting' – Syed Saddiq tak paksa Bella tinggalkan dunia seni, dedah sebab enggan tunang sertai politik

Perkongsian ini memperlihatkan sisi Syed Saddiq yang lebih manusiawi, bukan sekadar ahli politik, tetapi seorang individu yang cuba menyeimbangkan impian, cinta dan tanggungjawab dalam dunia yang penuh perhatian.

Dan mungkin, di sebalik semua sorotan itu, mesej paling jelas adalah satu: dalam mengejar impian, tiada siapa yang patut ditinggalkan di belakang.