
SHAH ALAM – Kerajaan bakal mengumumkan langkah lebih tegas bagi meningkatkan kadar gaji dan upah pekerja khusus swasta menerusi Belanjawan 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu perlu diberi perhatian serius berikutan peningkatan produktiviti negara yang tidak selari dengan kadar kenaikan upah pekerja yang masih rendah.
Menurut beliau, kerajaan tidak boleh membiarkan keadaan itu berterusan terutama membabitkan syarikat besar yang mencatat keuntungan tinggi tetapi masih keberatan meningkatkan gaji pekerja.
“Saya faham kalau di restoran tidak bagi kenaikan tu tidak mudah. Tetapi ada syarikat-syarikat dalam negara kita yang untungnya beratus juta. Ada yang mencatat satu bilion ringgit.
“Tetapi untuk naik gaji pekerja, sangat sukar. Ini adalah kita mewarisi sistem yang kapitalistis. Ini masalah dia. Jadi, terpaksa kita gunakan kuasa kerajaan untuk menekan. Undang-undang tidak membolehkan.
“Kita harus berunding dengan baik. Jadi, saya di peringkat akhir dan insya-Allah saya akan umumkan pada Belanjawan 2027 nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengenai langkah kerajaan memastikan graduan menerima gaji yang adil dan setimpal dengan kelayakan mereka pada Himpunan Mesra Alumni UiTM, di sini, hari ini.
Anwar berkata, perhatian juga perlu diberikan kepada struktur gaji graduan termasuk mereka yang memiliki kelayakan pascasiswazah, dan tidak hanya bergantung kepada penetapan gaji minimum.
“RM3,100 itu minimum. Itu pun kita nak kategorikan. Kalau minimum, kita kena lihat orang yang sudah siswazah. Kita ada pascasiswazah. Itu patut diberikan perhatian,” katanya.
Beliau berkata, usaha meningkatkan gaji pekerja perlu bergerak seiring dengan strategi menarik pelaburan berteknologi tinggi.
Katanya, kehadiran syarikat seperti Infineon, Nvidia, Microsoft dan Intel memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menyokong pertumbuhan industri berteknologi tinggi negara.
Sehubungan itu, katanya, institusi pengajian tinggi perlu memastikan kurikulum sentiasa selari dengan keperluan industri bagi melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran serta nilai pasaran lebih tinggi.
“Di Korea Selatan, produktiviti tinggi, upah pun ikut. Walaupun tidak sama, tetapi ia meningkat mengikut kadar produktiviti.
“Di Malaysia, produktiviti terus meningkat, tetapi kadar upah itu meningkat sangat lambat,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Gaji swasta: Langkah lebih tegas bakal diumum appeared first on Kosmo Online.




