
KUALA LUMPUR – Industri pembinaan mengharapkan strategi dalam Belanjawan 2027 bagi membantu pemain sektor itu menangani peningkatan kos bahan binaan, upah pekerja serta komponen lain.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perincian mengenai langkah kerajaan bagaimanapun hanya akan diketahui selepas Belanjawan 2027 dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober depan.
“Sudah tentu industri pembinaan mahu melihat apakah strategi menerusi belanjawan akan datang dan bagaimana kita boleh terus membantu pemain industri menangani peningkatan kos bahan.
“Begitu juga komponen penting lain dalam industri pembinaan seperti upah pekerja dan sebagainya. Mengenai perinciannya, kita perlu menunggu sehingga Belanjawan 2027 dibentangkan dan boleh membincangkannya selepas itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Simposium Teknikal IEM – CDL Academy 2026 di sini hari ini.
Alexander berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peningkatan kos pembinaan yang dilaporkan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), sebelum ini.
Menurut Presiden REHDA, Datuk Zaini Yusoff, kos pembinaan meningkat secara purata kira-kira 13 peratus, namun kadar itu berbeza mengikut jenis kerja.
Bagi kerja tanah dan infrastruktur, peningkatan dilaporkan sekitar 20 hingga 30 peratus, manakala kerja pembinaan bangunan biasa mencatatkan kenaikan lebih rendah sekitar tiga hingga lima peratus.
Kenaikan kos itu antara lain dikaitkan dengan peningkatan harga bahan binaan dan produk berkaitan diesel seperti bitumen susulan ketidaktentuan harga minyak global, khususnya memberi kesan kepada projek jalan raya dan infrastruktur.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kesan harga minyak terhadap sektor pembinaan, Alexander mengakui ketidaktentuan harga komoditi berkenaan akibat konflik di Asia Barat turut memberi kesan kepada kos industri. — KOSMO! ONLINE
The post Industri pembinaan harap Belanjawan 2027 tangani kenaikan kos appeared first on Kosmo Online.






