Jika anda seorang peminat binaan komputer gaming, jenama GALAX pastinya tidak asing lagi buat anda. Jenama kad grafik tersebut, yang secara lazimnya membangunkan kad-kad grafik berasaskan siri NVIDIA GeForce RTX dikenali untuk beberapa model terkemuka yang hadir dengan prestasi baik dan rekaan menarik.
Perkara ini telah dilaporkan oleh WCCFTech yang telah memperlihatkan satu surat kenyataan yang dihantar oleh Palit, yang merupakan ibu syarikat kepada jenama GALAX, yang mengatakan bahawa syarikat tersebut terpaksa ditutup kerana kekangan yang berlaku akibat era AI yang kini menyekat kemampuan mereka untuk membeli bahan mentah baru, komponen cip grafik dan lain-lain yang diperlukan untuk membina bekalan kad grafik mereka.

GALAX ialah jenama kad grafik yang terkenal untuk model kad grafik Hall of Fame mereka yang hadir dengan prestasi hebat dan rekaan yang unik dan agresif. Sayangnya, jenama tersebut kini sudah ditutup bermula 1 April yang lalu, menurut kenyataan yang dikeluarkan.

Kad grafik GALAX yang ada di pasaran sekarang adalah kad-kad grafik terakhir yang akan dihasilkan oleh mereka, dan semua operasi waranti dan RMA (pulangan kepada pengeluar) akan dikendalikan oleh Palit untuk kad-kad grafik GALAX yang masih dalam tempoh waranti.
Ini merupakan jenama pengeluar komponen komputer besar kedua yang mengumumkan penutupan selepas satu lagi jenama, EVGA juga telah menghentikan pengeluaran kad grafik NVIDIA pada tahun 2022, tetapi masih menghasilkan komponen bekalan kuasa untuk komputer.

