Ulasan Acer Predator Triton 14 AI – Prestasi Gaming Hebat Dalam Rangka Kecil

TechnologyGaming
20 Apr 2026 • 2:51 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Jenama komputer riba Acer Predator secara lazimnya hadir dalam banyak reka bentuk berbeza yang menjadikannya sebuah jenama komputer gaming yang cukup unik. Tidak kurangnya dengan Acer Predator Triton 14 AI yang diperkenalkan pada tahun lepas, menggabungkan penggunaan cip pemprosesan Intel Evo (Intel Core Ultra 200V) bersama-sama dengan kad grafik komputer riba kelas premium.

Image from: Ulasan Acer Predator Triton 14 AI – Prestasi Gaming Hebat Dalam Rangka Kecil

Spesifikasi Dan Rekaan

Nama ModelAcer Predator Triton 14 AI
Saiz Paparan14.0″ OLED, 2880×1800, 16:10,
120Hz, 500 nits
PemprosesIntel Core Ultra 9 288V
8 Teras
Cip GrafikNVIDIA GeForce RTX 5070 8GB
RAM32GB LPDDR5X
Muatan Dalaman2TB M.2 NVMe PCIe 4.0 SSD
KameraFull HD 1080P
Palam I/O1 x USB 4.0 Type-C (Thunderbolt 4)
1 x USB 3.2 Type-C
2 x USB 3.2 Gen 1 Type-A
1 x HDMI 2.1 TMDS
Sistem OperasiWindows 11 Home
SekuritiImbasan Cap jari (Windows Hello)
Bateri76WHrs, 4-cell Li-ion
Pengecas 100W
HargaRM12,999

Seperti yang dapat diperlihatkan pada namanya, Acer Predator Triton 14 AI hadir dalam rekaan skrin bersaiz 14 inci, yang mungkin dilihat kecil dan “terlalu padat” untuk sebuah komputer riba gaming. Walaupun begitu, paparan komputer riba ini menggunakan panel OLED dan hadir dalam nisbah paparan 16:10 yang lebih tinggi dengan resolusi 3K (2880×1800) dan kadar segar semula 120Hz.

Image from: Ulasan Acer Predator Triton 14 AI – Prestasi Gaming Hebat Dalam Rangka Kecil

Menariknya, ia dikuasakan oleh gabungan CPU dan GPU Intel Core Ultra 9 288V dan NVIDIA GeForce RTX 5070 (8GB GDDR5), yang mana komponen CPU tersebut ialah dari siri Intel Core Ultra 200 “Lunar Lake” yang lebih lazim diperlihatkan pada siri komputer riba nipis dan ringan.

Image from: Ulasan Acer Predator Triton 14 AI – Prestasi Gaming Hebat Dalam Rangka Kecil

Untuk model komputer riba ini, ia juga hadir dengan memori LPDDR5X 32GB yang dipateri terus ke komponen CPU dan storan SSD PCIe 4.0 bersaiz 2TB yang cukup besar untuk memuatkan sistem operasi Microsoft Windows 11 dan sejumlah permainan komputer moden yang hadir dengan keperluan storan yang besar.

Untuk sambungan I/O, ia mempunyai palam USB Type-C (Thunderbolt 4) dan USB Type-A (USB 3.2) di kedua-dua belah kiri dan kanan, yang turut menyokong pengecasan Power Delivery melalui USB dan juga palam HDMI 2.1 di bahagian kiri. Tidak seperti sejumlah besar komputer riba gaming yang lain, Predator Triton 14 AI ini tidak mempunyai palam RJ-45 LAN untuk sambungan internet berwayar, dijangka kerana rekaan rangkanya yang lebih nipis berbanding komputer riba gaming lain.

Image from: Ulasan Acer Predator Triton 14 AI – Prestasi Gaming Hebat Dalam Rangka Kecil

Beralih kepada reka bentuk, pada pendapat saya, Predator Triton 14 AI ini hadir dengan rekaan yang sangat minimalis, dengan rangka aluminum berwarna kelabu gelap yang menambahkan lagi estetika gelap yang bagi saya adalah cukup cantik sekali.

Image from: Ulasan Acer Predator Triton 14 AI – Prestasi Gaming Hebat Dalam Rangka Kecil

Papan kekunci dengan pencahayaan RGB mengingatkan saya bahawa Predator Triton 14 AI ini adalah sebuah komputer riba gaming, tetapi apabila ia dipadamkan, ia adalah seperti saya sedang menggunakan komputer riba dengan fokus terhadap produktiviti secara sepenuhnya.

Paparan & Audio

Seperti yang dikatakan, Predator Triton 14 AI ini hadir dengan panel OLED beresolusi 3K (2880 x 1880) dengan kadar segar semula 120Hz yang cukup pantas untuk permainan-permainan yang dapat memanfaatkan kadar segar semula yang pantas tersebut, seperti permainan-permainan penembak pertama.

Image from: Ulasan Acer Predator Triton 14 AI – Prestasi Gaming Hebat Dalam Rangka Kecil

Tetapi lebih penting daripada itu, olahan warna dan grafik yang diperlihatkan pada paparan ini adalah sangat cantik sekali, dan sesuai digunakan untuk menonton dan memainkan pelbagai jenis kandungan, dari penstriman video sehinggalah memainkan permainan komputer kegemaran anda.

Walaupun begitu, oleh kerana paparan ini hadir dengan skrin berkilat, pantulan cahaya yang diperlihatkan pada skrin ini mungkin akan mengganggu pengalaman riadah anda. Dalam pada itu, ketiadaan ciri Variable Refresh Rate pada skrin ini walaupun ia disokong pada kad grafik NVIDIA boleh menyebabkan isu carikan skrin dan kadar segar semula tidak sekata, walaupun dalam pengalaman kami, perkara ini jarang berlaku.

Image from: Ulasan Acer Predator Triton 14 AI – Prestasi Gaming Hebat Dalam Rangka Kecil

Kualiti audio pada pembesar suara terbina Predator Triton 14 AI ini juga cukup lantang, berterima kasih kepada sistem audio yang memuatkan enam buah pembesar suara di sekeliling komputer riba ini, tetapi bagi saya, ia memerlukan kemampuan bass tambahan khususnya jika anda juga menggunakan komputer riba ini untuk memainkan lagu-lagu kegemaran anda.

Pengalaman Pengguna

Gabungan cip pemprosesan komputer riba produktiviti Intel Lunar Lake dan kad grafik gaming NVIDIA GeForce RTX 5070 merupakan gabungan yang aneh, tetapi cukup menarik sekali. Perlu diingatkan bahawa cip tersebut secara lazimnya digunakan dalam komputer riba nipis dan ringan, dan tidak mempunyai kemampuan pemprosesan sama seperti siri cip Intel H atau HX yang lebih berkuasa.

Image from: Ulasan Acer Predator Triton 14 AI – Prestasi Gaming Hebat Dalam Rangka Kecil

Walaupun begitu, kami memainkan beberapa permainan komputer seperti Valorant dan Code Vein II untuk menguji kemampuan prestasi, olahan grafik dan kadar segar semula komputer riba ini.

Image from: Ulasan Acer Predator Triton 14 AI – Prestasi Gaming Hebat Dalam Rangka Kecil

Untuk permainan e-sukan seperti Valorant, resolusi dan olahan grafik tinggi tidak sepenting kadar segar semula untuk pengalaman menembak dan mengelak yang lebih lancar. Bagi saya, seorang pemain kasual, ini bukanlah sesuatu yang saya pentingkan, tetapi untuk mereka yang sudah biasa memainkan permainan penembak pertama pada kadar segar semula 240Hz, ataupun pada tahap profesional, ini mungkin menjadi satu isu untuk mereka.

Image from: Ulasan Acer Predator Triton 14 AI – Prestasi Gaming Hebat Dalam Rangka Kecil

Code Vein II, sebuah permainan RPG yang hadir dengan grafik yang sangat cantik mampu digerakkan pada tetapan tinggi dan kadar segar semula 60FPS dan resolusi 1440p dengan bantuan teknologi penaiktarafan resolusi DLSS membolehkan permainan ini dimainkan dengan cantik dan selesa sekali.

Dari segi produktiviti pula, walaupun komputer riba Intel Core Ultra 200V lain yang kami ulas sebelum ini hadir dengan jangka hayat bateri yang panjang, penggunaannya pada komputer riba ini dilihat jauh lebih rendah berbanding dengan komputer tersebut. Untuk komputer riba ini, ia dimuatkan dengan bateri Li-ion 4 sel dengan kapasiti 76Whr.

Image from: Ulasan Acer Predator Triton 14 AI – Prestasi Gaming Hebat Dalam Rangka Kecil

Dalam pengalaman kami, Acer Predator Triton 14 AI apabila paparan ditetapkan pada 50 peratus nilai kecerahan dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5070 tidak digunakan, hadir dengan jangka hayat kira-kira 5 jam, dan angka ini dilihat sangat jauh berbanding dengan 11-12 jam yang dapat diperlihatkan pada komputer riba kelas nipis dan ringan lain yang menggunakan siri CPU yang sama.

Image from: Ulasan Acer Predator Triton 14 AI – Prestasi Gaming Hebat Dalam Rangka Kecil

Walaupun begitu, prestasi perkomputeran CPU ini tidak terkesan selain daripada isu bateri, dan boleh digunakan secara berterusan, dan pengecasan pantas melalui sambungan pengecasan Power Delivery 65W dan 100W boleh mengecas bateri tersebut secara pantas.

Pengalaman menaip menggunakan papan kekunci pada komputer riba ini juga pada pendapat saya adalah cukup selesa, tetapi untuk sesi gaming, mungkin anda akan mahu menggunakan papan kekunci asing kerana bahagian tersebut dilihat boleh menjadi agak panas khususnya apabila memainkan permainan komputer untuk jangka masa yang panjang.

Image from: Ulasan Acer Predator Triton 14 AI – Prestasi Gaming Hebat Dalam Rangka Kecil

Bunyi kipas juga dilihat tidak begitu bising, tetapi apabila komponen CPU dan GPU digunakan pada tahap maksima, sistem penyejukan yang menggunakan kipas Aeroblade 3D generasi terbaru akan berpusing pada kadar sangat pantas. Jika anda menggunakan fon kepala sebagai output audio, bunyi tersebut tidak akan mengganggu anda.

Apa Dalam Kotak

Image from: Ulasan Acer Predator Triton 14 AI – Prestasi Gaming Hebat Dalam Rangka Kecil

Ini adalah apa yang ditawarkan di dalam kotak apabila anda membeli sebuah komputer riba Acer Predator Triton 14 AI:

  • 1x Acer Predator Triton 14 AI
  • Pengecas 100W
  • Buku panduan pengguna

Penutup

Acer Predator Triton 14 AI merupakan sebuah komputer riba gaming yang pada dasarnya dilihat agak menarik. Cuma, dengan tanda harga RM12,999 ia adalah cukup sukar sekali untuk saya syorkan kepada orang ramai.

Image from: Ulasan Acer Predator Triton 14 AI – Prestasi Gaming Hebat Dalam Rangka Kecil

Jika anda mahukan sebuah komputer riba dengan rekaan padat, tetapi dengan spesifikasi berkuasa, Predator Triton 14 AI ini mungkin dilihat sebagai solusi yang bernas. Cuma, pada tanda harga yang disebut, secara teknikalnya anda juga boleh membeli sebuah komputer riba gaming yang bukan sahaja hadir dengan cip pemprosesan yang lebih berkuasa, tetapi juga pilihan skrin lebih besar yang mengekalkan banyak ciri-ciri gaming yang anda mahukan daripada sebuah komputer riba kelas ini.

Pro:

  • Rekaan padat, nipis dan ringan
  • Spesifikasi CPU dan kad grafik menarik
  • Paparan OLED sesentuh yang cantik
  • Prestasi gaming yang baik

Kontra:

  • Tanda harga sangat premium
  • Jangka hayat bateri yang tidak begitu lama
  • Kualiti audio biasa-biasa sahaja
  • Bahagian papan kekunci sangat panas apabila memainkan permainan komputer
Image from: Ulasan Acer Predator Triton 14 AI – Prestasi Gaming Hebat Dalam Rangka Kecil