Gamuda dijangka tidak terjejas oleh pembatalan projek Metro West di Australia kerana sudah siap 40% – Kenanga Research

Business & Finance
1 Aug 2023 • 11:36 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Gamuda dijangka tidak terjejas oleh pembatalan projek Metro West di Australia kerana sudah siap 40% – Kenanga Research

diyana

01/08/2023 - 11:36

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Kenanga Research menjangkakan pakej terowong Gamuda untuk projek kereta api Metro West di Australia tidak terjejas memandangkan ia telah siap 40%.

Firma itu berkata harga saham Gamuda Berhad yang telah jatuh semalam – dicetuskan oleh berita mengenai kemungkinan pembatalan projek Metro West di Australia – merupakan peluang pembelian yang baik.

“Kos pakej terowong tidak mungkin dikurangkan dan ia adalah mahal untuk membatalkan projek pada peringkat ini.

“Paling teruk, sekiranya pakej itu ditamatkan, ia akan mengurangkan keuntungan bersih Gamuda pada tahun kewangan 2023 (FY24) sebanyak 8%.

“Dengan mengandaikan baki kerja 60% sekitar RM3.9 bilion dengan margin operasi 11%, jumlah sumbangan keuntungan akan menjadi RM300 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Kami percaya kerugian RM429 juta dalam modal pasaran semalam adalah tidak wajar,” ujarnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Oleh itu, Kenanga Research mengekalkan unjuran pendapatannya dan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) RM5.15 sesaham.

Pada hari dagangan semalam, saham Gamuda telah ditutup susut 20 sen atau 4.4% kepada RM4.30, sementara pada waktu penulisan, sahamnya turun lagi 8 sen atau 1.9% kepada RM4.22.

Menurut firma itu, saham Gamuda aktif dijual semalam dengan jumlah besar 37.4 juta saham didagangkan berikutan laporan berita bahawa perdana menteri New South Wales (NSW) mungkin mempertimbangkan untuk membatalkan atau menyemak skop Laluan kereta api Metro West selepas kos projek meningkat daripada AU$16 bilion kepada AU$25 bilion berikutan peningkatan kos bahan serta pengembangan dalam skop kerjanya.

Kenanga Research berkata ia terus menyukai Gamuda kerana: (i) ia menjadi pelopor untuk kerja terowong MRT3, (ii) kemenangan kerja di Australia dan Singapura yang membuktikan daya saingnya di pasaran antarabangsa, (iii) kunci kira-kiranya kukuh selepas pelupusan lebuh raya bertolnya, (iv) keterlihatan pendapatannya disokong oleh buku pesanan berjumlah RM21.5 bilion dan (v) usahanya untuk mempercepatkan pertumbuhan dalam ruang tenaga boleh diperbaharui, sejajar dengan matlamat kemampanan global. - DagangNews.com