Pendapatan CapitaLand Malaysia Trust dijangka meningkat didorong sumbangan Queensbay Mall – Kenanga Research

Business & Finance
26 Jul 2023 • 12:08 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan CapitaLand Malaysia Trust dijangka meningkat didorong sumbangan Queensbay Mall – Kenanga Research

diyana

26/07/2023 - 12:08

KUALA LUMPUR 26 Julai - Pendapatan CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) dijangka meningkat dengan ketara didorong oleh suntikan Queensbay Mall (QBM) kepada portfolionya, yang membentuk 26% dan 34% daripada hasil kasar dan pendapatan harta bersih pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23).

Kenanga Research berkata hasil kasar separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23), yang diumumkan pada 25 Julai, telah meningkat 35% terutamanya disebabkan penambahan QBM pada 21 Mac 2023.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata iklim runcit mungkin menyaksikan cabaran terhadap tekanan inflasi yang boleh menjejas perbelanjaan pengguna, dengan kemungkinan diheret oleh kekurangan faktor bermusim.

“Tidak termasuk QBM, aset runcit CLMT nampaknya telah meningkat ke paras sebelum COVID dari segi trafik pembeli-belah. Aktiviti peruncitan secara relatifnya lebih kukuh hasil daripada perbelanjaan pengguna yang meningkat selepas COVID walaupun terdapat isyarat pengurangan dalam jangka masa terdekat,” jelasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Secara progresif, katanya, kumpulan itu berharap untuk mengembangkan profil logistiknya untuk mempelbagaikan portfolio, di mana pusat pengedaran yang telah dirancang CLMT boleh diperoleh sepenuhnya menjelang 2HFY23.

Bagaimanapun, firma itu berpendapat bahawa sumbangan pusat pengedaran itu terhad memandangkan hampir keseluruhan portfolio CLMT adalah dalam peruncitan.

Kenanga Research mengekalkan unjuran pendapatan CLMT bagi FY23 dan FY24, manakala saranan dikekalkan ‘market perform’ dengan harga sasaran (TP) 53 sen seunit dan hasil sasaran sebanyak 7.5%.

“TP kami adalah berdasarkan pengagihan seunit (DPU) kasar FY24 kami sebanyak 4 sen terhadap hasil sasaran tidak berubah sebanyak 7.5% (diperoleh daripada tebaran hasil 3% melebihi andaian Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun sebanyak 4.5%).

“Kami percaya pertambahan pendapatan daripada pengambilalihan QBM adalah berpatutan pada tahap semasa. Profil asetnya yang kurang perdana di tengah-tengah prospek ekonomi tidak menentu dan persekitaran inflasi yang tinggi mungkin memberi tekanan kepada portfolio bertumpukan runcitnya pada masa hadapan,” jelasnya.

Pada waktu penulisan, CLMT didagangkan pada 52.5 sen, susut 1.5 sen atau 2.8% dengan permodalan pasarannya berjumlah RM1.4 bilion. - DagangNews.com