Gamuda, Sunway Construction, Binastra jadi pilihan utama dalam fokus sektor pengangkutan Belanjawan 2026 - RHB Research

08/10/2025 - 09:38
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 8 Okt - RHB Research memilih Gamuda Berhad, Sunway Construction Group Berhad dan Binastra Corporation Berhad sebagai pilihan utama dalam sektor pengangkutan bagi Belanjawan 2026.
Katanya, projek Mass Rapid Transit 3 (MRT3) dijangka mendapat perhatian khusus dalam pembentangan Belanjawan 2026, berikutan kelulusan skim rel akhir pada Julai lalu yang membuka ruang kepada kemungkinan pusingan tender baharu.
Firma penyelidikan itu berkata, sektor pengangkutan dijangka menerima peruntukan lebih tinggi dalam Belanjawan 2026, seiring dengan pelaksanaan pelbagai projek mega seperti LRT Pulau Pinang, East Coast Rail Link (ECRL) dan penyambungan semula lima stesen baharu bagi projek LRT3.
Daripada jumlah perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM86 bilion yang diperuntukkan bagi tahun 2025, sekitar RM17.6 bilion atau 20.4% disalurkan khusus kepada subsektor pengangkutan — meliputi projek rel, jalan raya, dan infrastruktur awam utama.
Katanya, dengan momentum pembangunan semasa dan beberapa tender besar yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat dan dijangka peratusan peruntukan untuk sektor pengangkutan dalam Belanjawan 2026 bakal meningkat melebihi 20.4%.
"Antara pemacu utama kenaikan ini termasuk projek LRT Pulau Pinang yang dijangka membuka tender bagi pakej jambatan Komtar–Penang Sentral pada Oktober ini, serta keputusan tender bagi pakej sistem rel dijangka diketahui menjelang akhir 2025.
"Selain itu, tender bagi Seksyen D projek ECRL, bernilai antara RM600 juta hingga RM800 juta, turut dijangka diumum menjelang hujung tahun ini. Seksyen tersebut akan menghubungkan stesen ECRL Jalan Kastam di Pelabuhan Klang terus ke dua pelabuhan kontena utama di Selangor.
"Turut menjadi tumpuan ialah projek Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA), yang melibatkan pembinaan terminal baharu dan kerja-kerja berkaitan — dijangka menjadi antara kontrak terbesar di utara tanah air," katanya dalam satu nota kajian.
RHB Research berkata, kadar penggunaan perkhidmatan MRT turut mencatat rekod baharu, dengan 8.3 juta penumpang bagi Laluan Kajang dan 5.1 juta penumpang bagi Laluan Putrajaya pada Julai lalu.
Katanya, data itu menunjukkan peningkatan berterusan dalam permintaan terhadap pengangkutan awam bandar — sekaligus mengukuhkan justifikasi bagi penambahan peruntukan pembangunan sektor pengangkutan dalam Belanjawan 2026.- DagangNews.com
featured standard


