Elak cukai baharu, Belanjawan 2026 mesti fokus pertumbuhan PKS - Samenta

08/10/2025 - 11:59
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 8 Okt – Kerajaan diharap agar tidak memperkenalkan sebarang cukai baharu dalam Belanjawan 2026, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan daya saing dan menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Gesaan itu dibuat Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) yang mahu Belanjawan 2026 dirangka sebagai belanjawan mesra PKS.
Presidennya, Datuk William Ng berkata, ia mesti memfokuskan kepada langkah pengurangan tekanan kewangan, kemudahan akses pembiayaan dan galakan kepada perdagangan intra-ASEAN.
Katanya, hasil tinjauan SME Outlook Survey oleh SAMENTA menunjukkan 65% PKS percaya ekonomi negara berada di landasan pemulihan, namun sebahagian besar masih berdepan kekangan aliran tunai dan peningkatan kos operasi.
“Sebanyak 7 daripada 10 PKS mempunyai simpanan tunai kurang daripada 6 bulan. Ini bukan masa sesuai untuk memperkenalkan cukai baharu atau menambah beban pematuhan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan sebarang peluasan cukai juga akan melemahkan daya tahan PKS yang sedang berusaha mengekalkan operasi dalam persekitaran perniagaan yang mencabar.
Sebaliknya, Samenta mencadangkan supaya kerajaan memperluaskan skim jaminan kredit sedia ada supaya lebih banyak PKS termasuk perusahaan mikro dan syarikat baharu boleh mendapatkan pembiayaan tanpa keperluan cagaran yang tinggi.

William turut menekankan keperluan untuk memperkukuh perdagangan dalam kalangan negara ASEAN memandangkan kadar perdagangan ketika ini hanya sekitar 21%.
Katanya, kerajaan perlu memberi insentif cukai bagi perbelanjaan membangunkan pasaran dan rantaian bekalan serantau.
“Ini akan menggalakkan lebih banyak PKS melabur dalam perkongsian serantau, usaha sama dan jaringan eksport ASEAN, sekali gus menyokong matlamat Malaysia untuk beralih daripada konsep “Buatan Malaysia” kepada “Made by Malaysia”.
“Fokus sokongan kepada sektor PKS bukan hanya membantu pengeluaran tempatan, tetapi juga menggalakkan inovasi, pemilikan harta intelek dan usaha mengantarabangsakan jenama Malaysia,” katanya.
Cadangan utama Samenta bagi Belanjawan 2026 merangkumi 6 perkara utama, termasuk tiada cukai baharu atau peluasan cukai sedia ada yang boleh menambah beban kos atau pematuhan kepada PKS.
Antara lain, memperluaskan skim jaminan kredit, menyokong automasi dan pendigitalan berskala kecil, memberi insentif cukai untuk pelaksanaan ESG, mengiktiraf perbelanjaan pembangunan pasaran ASEAN sebagai kos boleh ditolak cukai dan memastikan keseimbangan pembangunan PKS di seluruh negara termasuk Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.
Beliau menambah, Belanjawan 2026 sebagai belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 perlu menjadi pemangkin untuk membantu PKS beralih daripada fasa kelangsungan kepada fasa daya saing.
“Kita tidak boleh terus bergantung kepada geran semata-mata. Sebaliknya, kita perlukan ekosistem yang menggalakkan inovasi, pendigitalan dan integrasi serantau,” katanya.
Samenta turut menyatakan kesediaan bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memastikan dasar-dasar yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 diterjemahkan kepada kesan sebenar di peringkat pelaksanaan. - DagangNews.com
standard

