
KUALA LUMPUR - Polis sedang menyiasat seorang wanita dikenali sebagai “Inspektor Sheila” selepas dia didakwa menghalang tugas anggota polis trafik dan menggunakan kata-kata tidak sopan di Jalan Ipoh malam semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan kejadian itu berlaku sekitar jam 9.30 malam di hadapan sebuah restoran, ketika anggota polis sedang menahan seorang pemandu warga Pakistan berusia 34 tahun kerana memandu tanpa lesen.
“Ketika anggota polis sedang berurusan dengan pemandu tersebut, seorang wanita dikenali sebagai Sheila tiba-tiba datang dari arah belakang dan menuduh anggota polis itu mengugut lelaki Pakistan berkenaan,” katanya.
Menurutnya lagi, wanita itu turut menuduh anggota polis tersebut tidak tahu undang-undang serta mengeluarkan kenyataan yang boleh menjatuhkan imej dan kredibiliti pasukan polis di tempat kejadian.
Susulan insiden, anggota polis terbabit telah membuat laporan polis bagi tindakan lanjut.
“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan,” jelasnya.
Sebelum ini, tular di media sosial satu video dimuat naik wanita terbabit yang mendakwa anggota polis berkenaan telah mengugut pemandu warga asing tersebut.
Difahamkan, Inspektor Sheila pernah digantung tugas pada 23 Jun 2023. - Getaran, 6 November 2025
