Ganggu Azam Baki Berucap, 2 Aktivis Ditahan Ketika Protes

LocalPolitics
7 Apr 2026 • 5:25 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Ucaptama oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, pada sebuah acada terganggu seketika hari ini, akibat protes dilakukan dua aktivis.

Kedua-dua individu terbabit dilaporkan membawa sepanduk dan melaungkan slogan ketika Azam memulakan ucapan dalam program Wacana Ilmiah Perdana kira-kira jam 2.45 petang, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini.

Gangguan tersebut bagaimanapun hanya sempat berlangsung dalam tempoh singkat sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan dengan mengeluarkan kedua-dua individu berkenaan dari dewan.

Menurut maklumat awal, kedua-dua lelaki itu dipercayai memasuki dewan sambil memegang sepanduk bertulis “Tangkap Azam Baki”, merujuk kepada kempen aktivis yang sedang berlangsung bagi menggesa tindakan diambil terhadap ketua SPRM itu.

Situasi menjadi tegang apabila seorang daripada mereka dilaporkan menjerit dan bergerak ke arah hadapan pentas, sekali gus mengganggu kelancaran majlis serta menarik perhatian petugas keselamatan.

Berdasarkan laporan, kedua-dua individu itu kemudian dikenal pasti oleh kumpulan aktivis Mandiri sebagai Hamdin Nordin, yang turut dikaitkan dengan Liga Rakyat Demokratik, serta seorang lagi aktivis dikenali sebagai Ahsanul.

Walaupun berdepan gangguan, Azam dilihat kekal tenang dan sempat meredakan suasana dengan berseloroh, “Jangan tukar saluran TV anda.”

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial, Mandiri mendakwa kedua-dua individu terbabit telah ditahan susulan insiden berkenaan dan menggesa agar mereka dibebaskan dengan segera.

Program tersebut kemudiannya diteruskan seperti biasa selepas keadaan kembali terkawal. – Getaran, 7 April 2026