PUTRAJAYA – Gangguan sistem pengendalian bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu lalu mendedahkan kelemahan ketahanan infrastruktur kritikal apabila sistem sokongan turut gagal berfungsi dalam situasi kecemasan.
Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan, siasatan awal mendapati punca utama gangguan adalah daripada sistem Gas Insulated Switchgear (GIS) 132kV di pencawang Bukit Raja yang mengalami gangguan (trip) sekitar jam 4.54 petang.
Menurut kementerian itu, kejadian tersebut menyebabkan penurunan voltan sekali gus menjejaskan operasi di KLIA, khususnya sistem pengendalian bagasi atau Baggage Handling System (BHS).
“Gangguan ini telah mengakibatkan kegagalan pengawal sistem BHS dan seterusnya menyebabkan penutupan besar sistem yang menjejaskan pengendalian bagasi bagi penerbangan berlepas dan ketibaan,” menurut kenyataan itu pada Isnin.
Lebih membimbangkan, walaupun sistem berkenaan disokong oleh unit Uninterruptible Power Supply (UPS), sebanyak enam unit turut terjejas.
Dalam tempoh antara jam 5 petang hingga 10.30 malam pada hari kejadian, sebanyak 23,769 bagasi diproses dengan 1,061 daripadanya dilaporkan sebagai shortshipped manakala 120 lagi dikenal pasti hilang semasa ketibaan.
"Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bersama rakan pengendali darat telah berjaya menghantar sebahagian besar bagasi yang terlibat, manakala baki kecil masih dalam proses akhir penyerahan atau tuntutan.
"Adalah penting untuk dimaklumkan bahawa jadual penerbangan tidak terjejas, dan tiada kelewatan atau pembatalan penerbangan dilaporkan akibat insiden ini," katanya.
Ujar kementerian itu, semakan dalaman turut mengenal pasti beberapa cabaran utama termasuk penyelarasan operasi di lapangan, masa tindak balas serta keterlihatan sistem secara masa nyata yang masih belum optimum.
"Walaupun Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) telah diaktifkan, skala gangguan yang berlaku melebihi jangkaan senario sedia ada," jelas MOT.
Sebagai langkah segera, katanya, MAHB bersama rakan pengendali telah melaksanakan prosedur manual serta menambah tenaga kerja bagi menstabilkan aliran penumpang dan mengurangkan kesulitan.
Sehubungan itu, MOT mengarahkan satu penambahbaikan menyeluruh terhadap protokol dan infrastruktur sistem pengendalian bagasi di KLIA bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
“Langkah mitigasi segera serta jangka panjang sedang dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan sama, kementerian akan membentangkan Nota Jemaah Menteri berhubung insiden tersebut pada Rabu ini manakala Pengarah Urusan MAHB diarahkan mengemukakan laporan kemajuan mingguan.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut menjalankan siasatan lanjut dengan kerjasama MAHB bagi memastikan operasi kembali stabil sepenuhnya serta mematuhi piawaian keselamatan dan perkhidmatan ditetapkan.
MOT menegaskan komitmen untuk mempercepatkan langkah proaktif dan tegas bagi memastikan KLIA terus beroperasi pada tahap kecekapan serta kebolehpercayaan tertinggi.
Terdahulu, penumpang-penumpang di KLIA Terminal 1 terpaksa menunggu antara dua hingga empat jam bagi mendapatkan bagasi menerusi hantaran di aplikasi Thread pada Sabtu.
Pengurusan KLIA di ruangan komen memaklumkan gangguan itu berpunca daripada masalah bekalan elektrik di sebuah stesen janakuasa luar yang menyebabkan sistem pengendalian bagasi terjejas buat sementara waktu, sekali gus mengakibatkan kelewatan di kawasan tuntutan bagasi.
Bagi mengurangkan kesesakan, pihak KLIA membenarkan penumpang meninggalkan lapangan terbang dan kembali semula kemudian untuk mengambil bagasi masing-masing, selain maklumat terkini turut diberikan dari semasa ke semasa.





