JOHOR BAHRU- Beberapa stesen minyak di sekitar bandar raya ini dilaporkan mengalami masalah gangguan bekalan diesel sejak dua hari lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, gangguan bekalan diesel hanya bersifat sementara susulan kelewatan ketibaan kapal penghantaran sebelum ini.
"Pihak KPDN Johor telah menghubungi stesen minyak yang terkesan dan dimaklumkan bahawa bekalan diesel sedang dalam proses pengagihan dan dijangka akan pulih secara berperingkat dalam masa terdekat.
**media[3468537]**
"Bekalan bahan api kini sedang dalam proses pengagihan ke semua stesen minyak terlibat dan dijangka kembali pulih sepenuhnya seperti biasa dalam masa terdekat.
“Tiada apa yang perlu dirisaukan. Kapal sudah sampai dan proses pengagihan sedang berjalan. Bekalan akan kembali seperti sedia kala,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Beliau menjelaskan, kekurangan sementara di beberapa stesen sebelum ini turut dipengaruhi situasi seperti kesan ‘domino’, apabila pengguna berpindah ke stesen lain selepas sesuatu stesen kehabisan bekalan, sekali gus menyebabkan bekalan di lokasi lain turut cepat susut.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik atau membuat pembelian secara berlebihan kerana bekalan bahan api kini dalam keadaan stabil dan mencukupi.
"KPDN dan agensi berkaitan juga memaklumkan akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa bagi memastikan bekalan di semua stesen berjalan lancar," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Lori Johor, Chua Pei Yun, berkata hasil semakan dengan syarikat petroleum berkaitan mendapati banyak kapal kargo dan kapal tangki tiba serentak di pelabuhan tempatan selepas mengalami kelewatan, menyebabkan kapal tangki syarikat tersebut terpaksa beratur panjang untuk berlabuh dan memunggah muatan.
Katanya, keadaan itu menyebabkan bekalan diesel tidak dapat diagihkan ke stesen minyak mengikut jadual.
“Manakala kebanyakan pengusaha lori memilih satu syarikat petroleum tertentu kerana rangkaian stesen minyaknya yang luas, sekali gus menyebabkan mereka terkesan apabila bekalan diesel di stesen syarikat itu terganggu.
“Ada pemandu lori yang terpaksa mengisi diesel di stesen minyak jenama lain tanpa subsidi selepas mendapat kebenaran majikan, walaupun harganya lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, gangguan tersebut hanya melibatkan kes terpencil dan syarikat petroleum terbabit telah memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor sebaik kejadian berlaku.


