johardy01/10/2026 - 13:22 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 1 Okt - Muar Ban Lee Group Berhad (MBL) berkata, gangguan hidupan liar, kerosakan jalan masuk dan kekurangan penyelenggaraan telah menjejaskan aktiviti penuaian di ladang kelapa sawit di Kelantan yang hak pembangunannya dipersetujui untuk dilupuskan pada harga RM16 juta.
Menurut MBL, aktiviti hidupan liar, termasuk kehadiran gajah, harimau dan haiwan lain, telah menyumbang kepada kerosakan kawasan ladang serta jalan dalaman. Keadaan infrastruktur yang semakin merosot mengehadkan akses ke sebahagian kawasan ladang dan menghalang aktiviti penuaian.
Butiran itu didedahkan menerusi makluman tambahan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, susulan pengumuman MBL pada 29 September bahawa anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, Sokor Gemilang Ladang Sdn. Bhd. (SGLSB), bersetuju menjual hak pembangunan ladang tersebut kepada Maluri Avenue One Sdn. Bhd. (MAOSB) pada harga RM16 juta.
ARTIKEL BERKAITAN: Muar Ban Lee lupus hak pembangunan ladang Kelantan kepada Maluri Avenue One pada harga RM16 juta
Ladang seluas kira-kira 789 hektar itu mempunyai sekitar 56,196 pokok kelapa sawit berusia antara 12 hingga 17 tahun, namun kematangan pokok tidak semestinya menghasilkan buah tandan segar yang dapat dituai secara berdaya maju dari segi komersial, kata syarikat itu.
Pengeluaran buah tandan segar adalah sifar tan pada tahun kewangan 2023, sebelum meningkat kepada 273.32 tan pada tahun kewangan 2024 dan 406.41 tan pada tahun kewangan 2025.
Keadaan ladang yang terbiar dan kekurangan penyelenggaraan pada tahun kewangan 2023 turut menyebabkan keadaan pokok serta infrastruktur semakin merosot, sekali gus menjejaskan keupayaan penuaian dan pengeluaran.
Bayaran baki RM14.40 juta tertakluk kepada persetujuan PPLRNK
MBL berkata, nilai pelupusan RM16 juta itu akan dibayar sepenuhnya secara tunai, dengan bayaran awal RM1.60 juta atau 10% perlu dijelaskan ketika perjanjian ditandatangani, tertakluk kepada laporan usaha wajar yang memuaskan.
Baki RM14.40 juta, mewakili 90% daripada nilai pelupusan, perlu dibayar selepas syarat terdahulu dipenuhi, iaitu pembeli memperoleh persetujuan daripada Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan (PPLRNK).
Di bawah perjanjian tersebut, MAOSB perlu mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa berkaitan dan PPLRNK dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh perjanjian bagi mendapatkan kelulusan untuk novasi atau pemindahan hak pembangunan ladang.
Makluman tambahan itu tidak menyatakan tarikh persetujuan PPLRNK diperoleh.
MBL berkata, tiada liabiliti, termasuk liabiliti luar jangka, berkaitan pelupusan tersebut yang akan kekal ditanggung kumpulan selepas urus niaga selesai.
Syarikat itu turut mengesahkan bahawa pihaknya tidak memberikan sebarang jaminan kepada MAOSB, sama ada berkaitan pelupusan tersebut atau bagi urusan lain. - DagangNews.com


