johardy30/09/2026 - 09:30 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Sept - Muar Ban Lee Group Berhad (MBL) akan melupuskan hak pembangunan ladang melibatkan tanah seluas kira-kira 789 hektar di Tanah Merah, Kelantan kepada Maluri Avenue One Sdn. Bhd. (MAOSB) dengan nilai RM16 juta.
Urus niaga itu dilaksanakan menerusi anak syarikat tidak langsung milik penuh MBL, Sokor Gemilang Ladang Sdn. Bhd. (SGLSB), yang memeterai perjanjian jual beli dengan MAOSB pada Selasa, menurut makluman syarikat itu kepada Bursa Malaysia.
Tanah berkenaan dimiliki Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan (PPLRNK), manakala SGLSB memegang hak pembangunan ladang berdasarkan Perjanjian Pembangunan Tanah Ladang yang dimeterai dengan PPLRNK pada Ogos 2006.
Tanah di bawah PN 11498, Lot 2282 itu mempunyai tempoh pajakan 99 tahun sehingga 6 Disember 2113, manakala hak pembangunan ladang SGLSB adalah bagi tempoh 60 tahun bermula 7 Disember 2014 dengan pembaharuan automatik sehingga 30 tahun lagi tertakluk kepada terma perjanjian.
MBL berkata, nilai pelupusan RM16 juta itu ditetapkan atas dasar pembeli dan penjual yang bersedia selepas mengambil kira potensi pertumbuhan jangka panjang, baki tempoh hak pembangunan ladang, keadaan pasaran semasa bagi penanaman kelapa sawit di Kelantan serta kekangan operasi SGLSB.
Menurut kumpulan itu, kekurangan tenaga kerja asing yang serius telah menjejaskan keupayaan SGLSB untuk mencatat keuntungan operasi sejak 2014.
Pelupusan dijangka catat kerugian pro forma RM1.08 juta
Tiada penilaian bebas dilakukan terhadap hak pembangunan ladang itu. Setakat 31 Disember 2025, nilai buku bersihnya adalah RM17.08 juta pada peringkat kumpulan dan RM5.32 juta pada peringkat SGLSB, manakala pelupusan itu dijangka mencatat kerugian pro forma kira-kira RM1.08 juta.
Daripada hasil pelupusan RM16 juta, sebanyak RM7.07 juta akan digunakan untuk menjelaskan jumlah terhutang kepada syarikat induk kedua tertinggi dan RM3.14 juta bagi jumlah terhutang kepada syarikat berkaitan, manakala baki RM5.79 juta diperuntukkan sebagai modal kerja.
Selepas urus niaga selesai, MAOSB akan mengambil alih hak serta obligasi berkaitan di bawah Perjanjian Pembangunan Tanah Ladang, manakala SGLSB tidak lagi mempunyai sebarang hak, kepentingan atau manfaat berkaitan hak pembangunan ladang tersebut.
PPLRNK telah memberikan persetujuan bagi novasi dan pemindahan hak berkenaan, namun urus niaga itu masih tertakluk kepada pemenuhan syarat terdahulu serta kelulusan berkaitan seperti ditetapkan dalam perjanjian jual beli.
MAOSB akan membiayai nilai pelupusan RM16 juta itu menerusi gabungan pendahuluan pemegang saham, modal kerja dalaman dan kemudahan kredit luaran.
Dijangka selesai dalam sembilan bulan
Pelupusan itu dijangka selesai dalam tempoh sembilan bulan, tertakluk kepada pemenuhan semua syarat terdahulu.
MBL berkata, pelupusan tersebut membolehkan kumpulan merealisasikan nilai aset hak guna berkenaan serta memperbaiki kedudukan dan prestasi kewangannya.
Urus niaga itu dijangka tidak memberi kesan ketara terhadap pendapatan disatukan, pendapatan sesaham, aset bersih, aset bersih sesaham atau nisbah penggearan MBL bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
Pelupusan itu juga tidak memerlukan kelulusan pemegang saham MBL. - DagangNews.com





