
BUDAPEST: Red Bull kini berdepan cabaran besar dalam mengendalikan had teknikal pada pakej jentera 2026 bagi menghadapi kitaran peraturan baharu Formula Satu (F1).
Pasukan yang berpangkalan di Milton Keynes itu sebelum ini mendominasi litar menerusi Max Verstappen dengan kejuaraan dunia hatrik bermula 2022 hingga 2024.
Bagaimanapun, mereka kelihatan bergelut dan gagal mengulangi rentak cemerlang pada permulaan fasa peraturan kali ini.
Lebih merisaukan, Red Bull sekadar menghuni tangga keempat dalam kedudukan kategori pengeluar selepas 11 perlumbaan musim ini tanpa sebarang kemenangan.
“Seperti mana-mana kereta lumba, kami melihat adanya had dalam cara pemandu menggunakan jentera dan beban yang ada padanya. Karakteristik ini membataskan apa yang boleh kami lakukan untuk mengimbangi semula jentera.
“Kami berdepan isu kestabilan ketika memasuki selekoh dan masalah understeer di pertengahan selekoh. Kami sedang berusaha mengatasi aspek ini menggunakan peralatan mekanikal tertentu,” kata Pengarah Teknikalnya, Pierre Wache.
Mengulas lanjut mengenai prestasi hambar di awal musim, Wache mendedahkan jentera mereka kekurangan beban aerodinamik berbanding pasukan pesaing, selain gangguan mekanikal yang menjejaskan ‘deria’ pemandu.
“Pemandu tidak dapat merasai jentera melalui stereng dan kami telah memperbaikinya pada peringkat awal. Ia mengambil sedikit masa, namun isu ini bertindih dengan masalah prestasi keseluruhan dan potensi sebenar jentera kami,” katanya. – AGENSI
The post Gangguan mekanikal jejas rentak Red Bull appeared first on Utusan Malaysia.
