Gangguan Microsoft 365 cetus pelbagai reaksi pengguna

Technology
14 Nov 2026 • 4:48 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Gangguan Microsoft 365 cetus pelbagai reaksi pengguna

Kota Kinabalu: Gangguan besar perkhidmatan Microsoft 365 yang menyebabkan puluhan ribu pengguna di beberapa rantau gagal mengakses e-mel Outlook mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk gelagat lucu pengguna media sosial yang menyifatkannya sebagai ‘hadiah cuti’ sementara daripada kesibukan kerja.

Menerusi tinjauan di platform Threads, segelintir pengguna di Malaysia secara berseloroh meminta Microsoft supaya tidak tergesa-gesa menyelesaikan gangguan itu, sebaliknya mengambil masa untuk berehat dan mengutamakan kesihatan mental.

“Kepada Microsoft, tidak perlu tergesa-gesa, ambil masa anda bersama keluarga. Utamakan kesihatan mental anda. Selamat hari Jumaat kepada semua. Ikhlas daripada semua pekerja korporat,” kata seorang pengguna menerusi hantaran di platform itu.

Hantaran itu mendapat pelbagai reaksi dan sokongan daripada pengguna lain yang turut menyambutnya secara berseloroh, selain berharap Microsoft menyelesaikan masalah berkenaan dengan tenang tanpa perlu terburu-buru.

Di sebalik reaksi lucu itu, gangguan berkenaan dilaporkan menjejaskan akses kepada beberapa perkhidmatan Microsoft, termasuk Outlook, SharePoint dan aplikasi lain, manakala Microsoft Teams dilaporkan masih boleh digunakan seperti biasa ketika laporan ini ditulis.

Dalam kenyataannya, Microsoft memaklumkan pihaknya sedang berusaha mengurangkan kesan gangguan yang dipercayai berpunca daripada peningkatan beban pada infrastruktur syarikat di beberapa rantau.

Pada peringkat awal, syarikat itu menyiasat laporan gangguan di rantau Amerika sebelum mengesahkan bahawa masalah berkenaan berkemungkinan menjejaskan sambungan perkhidmatan Microsoft 365 di semua rantau.

Menurut laman pemantau gangguan perkhidmatan Downdetector, hampir 130,000 pengguna melaporkan masalah mengakses Outlook sejurus selepas 1 tengah hari waktu Timur Amerika Syarikat (AS), bersamaan 6 petang GMT.

Bagaimanapun, jumlah laporan itu menurun kepada kira-kira 50,000 pengguna menjelang 4.30 petang waktu Timur AS atau 9.30 malam GMT.

Microsoft turut memaklumkan bahawa pihaknya sudah menghentikan sementara pelaksanaan kemas kini, mengalihkan trafik tambahan daripada infrastruktur yang terjejas serta memulakan semula pelayan bermasalah bagi memulihkan perkhidmatan.

Microsoft 365 ialah perkhidmatan langganan berasaskan awan yang merangkumi pelbagai aplikasi produktiviti, termasuk Outlook dan Teams, yang digunakan secara meluas oleh organisasi serta pekerja korporat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved