Gangguan seksual anak tiri, lelaki Pakistan dipenjara 12 tahun

LocalPolitics
16 Oct 2025 • 5:05 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga Pakistan berusia 44 tahun dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen pada Rabu selepas didapati bersalah melakukan gangguan seksual fizikal terhadap anak tirinya.

Hakim Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh melampaui keraguan munasabah.

Mahkamah mendapati tertuduh bersalah kerana melakukan kesalahan tersebut terhadap mangsa berusia 11 tahun dengan menyentuh bahagian badan seperti kaki, peha serta menggigit payudara mangsa pada jam 1 pagi, 29 Disember 2022 di sebuah rumah di Penampang.

Tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Soaca) yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Semasa rayuan mitigasi peguam Edward Paul yang mewakili tertuduh memohon agar hukuman penjara tidak terlalu lama dengan alasan anak guamnya datang dari Pakistan dan meninggalkan keluarga di sana untuk mencari rezeki di Sabah.

Edward memberitahu mahkamah bahawa tertuduh mempunyai seorang isteri dan tujuh orang anak di Pakistan serta menyesali perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Beliau menambah bahawa tertuduh telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis sepanjang siasatan dijalankan serta berharap diberi peluang untuk berubah dan kembali kepada keluarganya di Pakistan selepas menjalani hukuman.

Namun Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat memandangkan mangsa merupakan anak tiri tertuduh dan dia memilih untuk dibicarakan menunjukkan tiada penyesalan yang tulen.

Mahkamah dimaklumkan bahawa mangsa merupakan anak kepada isteri kedua tertuduh yang kini sudah bercerai dengannya.

Sepanjang perbicaraan pihak pendakwaan memanggil lima saksi manakala dua saksi pembelaan termasuk tertuduh sendiri turut memberi keterangan.