
Kota Kinabalu: Seorang lelaki yang juga penganggur dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret pada Isnin selepas mengaku bersalah memotong kabel Telekom Malaysia awal tahun ini.
Majistret Dzul Elmy Yunus menjatuhkan hukuman itu terhadap Md Redzwan Syahfiqqi Abdullah, 21, selepas dia mengaku melakukan perbuatan khianat tersebut pada jam 4.30 pagi, 26 Mac lalu di Jalan Mat Salleh berhampiran Gurdwara Sahib, Tanjung Aru.
Kesalahan itu dikategorikan di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Kareena Kaur Gill Karamjit Singh memaklumkan mahkamah bahawa berdasarkan maklumat sepasukan polis telah menjalankan operasi di lokasi kejadian.
Pasukan itu ternampak dua lelaki sedang menarik keluar kabel Telekom Malaysia di mana seorang menarik kabel manakala seorang lagi berada di dalam lubang periksa (manhole).
Kedua-dua lelaki berkenaan cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis namun Redzwan berjaya ditahan manakala rakannya meloloskan diri.
Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi menemukan kabel bawah tanah sepanjang 2.5 meter bersama beberapa peralatan dipercayai digunakan dalam kejadian itu termasuk gergaji besi, pahat, pemotong wayar dan pemutar skru.
Siasatan mendapati Redzwan mengaku memotong kabel berkenaan dengan niat untuk menjualnya.
Dalam satu kes berasingan dua lelaki tanpa dokumen perjalanan sah masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara kerana menceroboh kawasan stesen janakuasa utama Universiti Malaysia Sabah (UMS) awal bulan ini.
Kedua-dua tertuduh Karim Sahri, 40, dan Abil Rajik, 18, yang tidak bekerja mengaku bersalah melakukan kesalahan itu pada jam 4.05 pagi, 3 Oktober lalu di kawasan Main Intake Substation (PMU UMS).
Mereka didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda hingga RM3,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah diberitahu bahawa pasukan dari Unit Risikan dan Rondaan Polis Bantuan SESB menjalankan serbuan di kawasan berpagar itu selepas menerima laporan mengenai aktiviti mencurigakan.
Kedua-dua lelaki berkenaan ditemui berada di dalam kawasan larangan tanpa dokumen pengenalan diri yang sah lalu ditahan.
Hasil pemeriksaan menemukan barangan dipercayai digunakan untuk mencuri kabel termasuk kabel sepanjang 10 kaki, dua batang palang tembaga bumi (10 kaki dan 8 kaki), gergaji besi dan sebilah pisau.
Siasatan turut mengesahkan bahawa kawasan stesen janakuasa tersebut merupakan kawasan larangan yang jelas ditanda dan kedua-dua tertuduh telah menceroboh tanpa kebenaran.


