Gangguan terhadap media tidak wajar berlaku - Exco Johor

LocalPolitics
19 May 2026 • 11:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Gangguan terhadap media tidak wajar berlaku - Exco Johor
Aznan

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor memandang serius insiden kekecohan serta gangguan terhadap petugas media ketika membuat liputan sebuah konvensyen parti politik di bandar raya in, Ahad lalu.

Exco Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, kerajaan negeri sentiasa menghargai peranan pengamal media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat yang sahih, tepat dan bertanggungjawab kepada masyarakat.

Katanya, sebarang tindakan yang boleh menghalang tugas media, menimbulkan ketegangan atau menjejaskan keselamatan petugas ketika menjalankan tanggungjawab profesional adalah sesuatu yang tidak wajar berlaku dalam mana-mana program atau acara.

“Johor sejak sekian lama dikenali sebagai negeri yang menitikberatkan nilai adab, santun, hormat-menghormati serta kematangan dalam berurusan dengan semua pihak tanpa mengira latar belakang.

“Budaya agresif, provokatif atau tindakan melampau bukanlah cerminan kepada budaya Bangsa Johor yang sentiasa mengutamakan keharmonian, kebijaksanaan dan kesopanan dalam setiap tindakan,” katanya dalam kenyataan pada malam Selasa.

Beliau turut menegaskan bahawa semua pihak termasuk penganjur program, pasukan keselamatan dan pengurusan acara mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan suasana kondusif serta profesional dapat diwujudkan terutama ketika melibatkan urusan media.

Tambahnya, hubungan baik antara media dan penganjur perlu sentiasa dipelihara demi memastikan proses penyampaian maklumat kepada rakyat berjalan lancar dan berintegriti.

Dalam pada itu, beliau menghormati tindakan Kelab Media Johor (KMJ) yang menyalurkan perkara berkenaan melalui saluran sewajarnya serta berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama penuh bagi meredakan keadaan.

Beliau berharap insiden terbabit dapat dijadikan pengajaran supaya setiap program yang berlangsung di Johor terus mencerminkan nilai profesionalisme, keselamatan, adab dan semangat muafakat yang menjadi kebanggaan Bangsa Johor.