JOHOR BAHRU – Kelab Media Johor (KMJ) memandang serius dan melahirkan rasa kesal insiden kekecohan serta gangguan terhadap petugas media sewaktu membuat liputan ketika konvensyen Pakatan Harapan (PH) di bandar raya ini, Ahad lalu.
Menurut KMJ, insiden kekecohan itu berlaku ketika petugas media dari Johor dan Kuala Lumpur sedang menjalankan tugasan liputan serta cuba mendapatkan reaksi pimpinan parti berkenaan.
"Insiden tersebut dipercayai melibatkan tindakan melampau oleh skuad keselamatan parti yang ditugaskan mengawal perjalanan konvensyen serta pergerakan orang kenamaan.
"Pihak terbabit didapati bertindak menghalang tugas pengamal media tempatan termasuk dari Johor dan Kuala Lumpur menerusi tindakan agresif yang tidak sepatutnya berlaku.
"Lebih mengecewakan, situasi tersebut turut melibatkan insiden tolak-menolak dan pertelingkahan mulut sewaktu petugas media sedang menjalankan tugasan hakiki bagi cubaan mendapatkan reaksi daripada pimpinan parti politik," ujarnya dalam kenyataan pada Selasa.
KMJ berkata, keadaan tidak terkawal itu bukan sahaja menimbulkan rasa tidak selesa malah menjejaskan keselamatan petugas media yang menjalankan tanggungjawab secara profesional.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak penganjur sebelum ini memberi jaminan akses serta ruang sewajarnya kepada media bagi memastikan kelancaran liputan program.
“Sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat, pengamal media sewajarnya diberikan kerjasama serta layanan profesional oleh semua pihak termasuk pasukan keselamatan dan pengurusan acara,” katanya.
Susulan kejadian itu, KMJ memaklumkan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sentral Johor Bahru hari ini bagi memastikan insiden sama tidak berulang selain melindungi kebajikan serta hak petugas media.
KMJ turut meminta pihak penganjur dan pihak berkaitan tampil memberikan penjelasan segera berhubung kejadian berkenaan serta memastikan keselamatan dan kebebasan media terus dipelihara pada masa depan.


