Gangguan Tren Di Chan Sow Lin, 25 Penumpang Terpaksa Dipindahkan

28 May 2026 • 2:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Gangguan Tren Di Chan Sow Lin, 25 Penumpang Terpaksa Dipindahkan

KUALA LUMPUR - Perkhidmatan di Laluan Ampang/Sri Petaling mengalami kelewatan hari ini selepas sebuah tren tergelincir ketika melalui suis landasan berhampiran stesen Chan Sow Lin, sekali gus mengganggu operasi laluan tersebut.

Rapid KL dalam satu kenyataan berkata, 25 penumpang dalam tren berkenaan telah dipindahkan dengan selamat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Pasukan teknikal kini berada di lokasi untuk menjalankan kerja pembaikan bagi memulihkan operasi secepat mungkin,” katanya.

Sebelum itu, beberapa hantaran tular di media sosial menunjukkan penumpang terpaksa turun dari tren dan berjalan di atas landasan semasa proses pemindahan dilakukan.

Pengguna @I.shzni di Threads turut memuat naik beberapa gambar dan video yang menunjukkan keadaan yang dialaminya pagi tadi.

“Punca LRT lambat hari ini. Laluan antara stesen Chan Sow Lin dan Cheras. Pukul 6.15 pagi, keadaan macam ni,” tulisnya.

Sementara itu, Rapid KL memaklumkan, perkhidmatan tren alternatif telah diaktifkan bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan.

Antara perkhidmatan yang disediakan ialah tren dari Sentul Timur yang akan berpatah balik di Stesen Pudu dengan kekerapan empat minit.

Selain itu, tren perantara disediakan antara Stesen Cheras dan Bandar Tasik Selatan di platform 1, dengan kekerapan lapan minit, serta antara Stesen Ampang dan Pandan Jaya di platform 1, dengan kekerapan lima minit.

Rapid KL juga mengumumkan bahawa tren dari Putra Heights akan berpatah balik di Stesen Bandar Tasik Selatan dengan kekerapan empat minit.

Dalam pada itu, bas perantara percuma turut disediakan antara Stesen Pudu, Cheras dan Pandan Jaya bagi memudahkan penumpang meneruskan perjalanan.

Penumpang juga dinasihatkan menggunakan laluan alternatif rel untuk sampai ke destinasi masing-masing serta mendapatkan bantuan daripada Pegawai Stesen atau Polis Bantuan jika perlu.

Maklumat terkini status perkhidmatan boleh diperoleh melalui media sosial rasmi Rapid KL dan aplikasi MyRapid PULSE. 

Video insiden berkenaan boleh disaksikan menerusi pautan https://www.facebook.com/reel/1323049026445755 - Getaran, 28 Mei 2026