Gangguan ucapan KP SPRM: Cerminan kemarahan rakyat - Ahmad Fadhli

LocalPolitics
8 Apr 2026 • 2:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahmad Fadhli

SHAH ALAM – Insiden gangguan ketika Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyampaikan ucapan dalam satu program wacana ilmiah baru-baru ini tidak wajar dinormalisasikan, namun ia juga perlu dilihat sebagai manifestasi kepada kemarahan rakyat yang semakin memuncak terhadap isu integriti dan tadbir urus negara.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan mengganggu program rasmi bukanlah saluran yang sesuai untuk menyuarakan bantahan, apatah lagi dalam majlis berilmiah yang sepatutnya berlangsung secara tertib dan berhemah.

Menurutnya, insiden tersebut bagaimanapun tidak boleh dilihat secara terpisah, sebaliknya mencerminkan keresahan yang lebih mendalam dalam kalangan masyarakat terhadap beberapa isu yang masih belum diselesaikan.

"Kemarahan ini tidak boleh dipisahkan daripada rentetan isu yang membelenggu institusi tersebut, termasuk dakwaan pemilikan saham yang melibatkan Tan Sri Azam Baki sendiri serta pendedahan berkaitan kewujudan ‘mafia korporat’ yang didakwa mempunyai jaringan dan pengaruh tertentu dalam sistem penguatkuasaan.

"Lebih pelik, kerajaan dilihat masih berdolak-dalik tanpa sebarang tindakan segera walaupun Tan Sri Azam sendiri mengesahkan bahawa mafia korporat itu wujud. Dalam keadaan ini, rakyat melihat seolah-olah isu besar hanya dijawab dengan kenyataan, bukan tindakan tegas yang mampu mengembalikan keyakinan.

"Walaupun kita menolak pendekatan gangguan dalam program rasmi sebagai kaedah menyuarakan bantahan, kita tidak boleh menafikan punca yang mendorongnya. Kemarahan rakyat tidak muncul dalam vakum, ia terbina daripada persepsi, pengalaman dan rasa ketidakpuasan yang berpanjangan. Jika tidak ditangani dengan bijaksana, ia berpotensi merebak ke ruang-ruang lain yang lebih sukar dikawal," katanya menerusi hantaran di media sosial pada Rabu.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, ucapan di majlis wacana Azam di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur diganggu dengan kekecohan dipercayai dilakukan tiga lelaki.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.45 petang apabila dua lelaki yang sedang duduk tiba-tiba berjalan ke arah Azam dengan memegang sepanduk.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Pas menegaskan, penyelesaian sebenar terletak pada usaha memulihkan keyakinan rakyat melalui ketelusan, siasatan bebas serta keberanian politik untuk bertindak tanpa kompromi.

“Jika akar permasalahan ini tidak ditangani dengan bijaksana, tidak mustahil insiden seperti ini akan berulang dalam skala yang lebih besar dan sukar dikawal,” katanya.