
DEMAM drama Korea 'Teach You A Lesson' nampaknya betul-betul melanda rakyat Malaysia sehinggakan golongan kenamaan pun tidak terlepas daripada terjebak sama.
Mana tidaknya, jalan cerita yang mengangkat isu realiti dunia pendidikan membabitkan pelajar, guru dan ibu bapa membuatkan ramai yang tidak senang duduk setiap kali menontonnya.
Menariknya, penangan drama tular ini bukan sekadar mencetuskan perbincangan hangat di media sosial, malah ada yang mula mengaitkan watak dalam siri popular itu dengan tokoh pemimpin tempatan kita.
Baru-baru ini, perhatian netizen terarah kepada satu hantaran di Facebook apabila seorang pengguna media sosial menyamakan watak Pengarah Choi Gang Seok yang tegas dalam drama berkenaan dengan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Individu terbabit menganggap mesej yang dibawa dalam naskhah fiksyen itu sebenarnya memberi impak yang sangat besar dan mendalam kepada masyarakat sekeliling.

"Sungguhpun cuma cerita, namun ia memberikan impak yang sangat besar kepada kita semua.
"Kalau di Korea ada Pengarah Choi Gang Seok, di Malaysia kita ada Asyraf Wajdi," tulisnya dalam hantaran yang mencuri perhatian ramai itu.
Lebih melucukan, perkongsian spontan netizen itu akhirnya mendapat maklum balas daripada tuan badan sendiri yang kemudiannya berkongsi semula hantaran tersebut di akaun Facebook miliknya.
Sambil berseloroh dengan gelagat warga maya, beliau sendiri mengakui sudah mula 'terjebak' melayan drama berkenaan sehinggakan sanggup mengorbankan waktu tidur malamnya demi tidak ketinggalan mengikuti jalan cerita yang mendebarkan itu.
"Aduhai, macam-macam netizen ni. Saya pun dah terjebak dengan drama tersebut.
"Dua malam dah tidur lewat. Baru masuk episod ketiga," katanya bersikap terbuka menceritakan penangan siri itu kepada dirinya.
Walaupun perkongsian tersebut kelihatan santai dan menghiburkan, Asyraf Wajdi sempat menyelitkan mesej penting yang berkait rapat dengan prinsip tegas yang dipegangnya selama ini dalam menerajui institusi pendidikan.
Dalam hantaran sebelum itu, beliau berkongsi sempat menonton drama pada episod awal.
"Patutlah ramai yang tagged saya minta tonton drama Netflix TEACH YOU A LESSON. Semalam sempat menonton episod pertama.
"Rupanya ada kesamaan watak Na Hwa-jin bekas Komando yang menjadi Pegawai utama Biro Perlindungan Hak Pendidikan dengan Bekas Tentera yang dilantik sebagai Warden Sepenuh Masa di MRSM. Keduanya punya fungsi yang sama untuk menangani isu BULI di sekolah," ungkap beliau.

Menerusi hantaran yang sama, beliau tidak lupa menyertakan tanda pagar #YouTouchYouGo sebagai peringatan mesra namun tegas buat semua pihak.
"Prinsip saya #YouTouchYouGo,"katanya tegas.
Isyarat jelas itu sekali gus membuktikan komitmen beliau yang tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang budaya buli mahupun salah laku dalam kalangan pelajar demi memastikan ekosistem pendidikan negara kekal selamat dan harmoni.




