'Teach You A Lesson' tular, netizen samakan watak Pengarah Choi dengan Asyraf Wajdi

LocalEntertainment
11 Jun 2026 • 10:13 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Teach You A Lesson' tular, netizen samakan watak Pengarah Choi dengan Asyraf Wajdi
Pengguna media sosial menyamakan watak Pengarah Choi (gambar kiri) dengan Asyraf Wajdi.

SHAH ALAM - Fenomena drama Korea 'Teach You A Lesson' terus menjadi bualan hangat dalam kalangan rakyat Malaysia dan tular di media sosial kerana mengetengahkan pelbagai isu pendidikan yang melibatkan pelajar, guru serta ibu bapa.

Terbaharu, seorang pengguna media sosial menyamakan watak Pengarah Choi Gang Seok dalam drama berkenaan dengan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menerusi satu hantaran di Facebook, individu terbabit menyifatkan mesej yang dibawa drama itu memberi kesan mendalam kepada masyarakat walaupun hanya sebuah karya fiksyen.

“Sungguhpun cuma cerita, namun ia memberikan impak yang sangat besar kepada kita semua.

“Kalau di Korea ada Pengarah Choi Gang Seok, di Malaysia kita ada Asyraf Wajdi,” tulisnya.

Hantaran tersebut kemudiannya mendapat perhatian Asyraf Wajdi yang turut berkongsi semula kandungan berkenaan di Facebook miliknya.

Menerusi perkongsian itu, beliau mengakui turut mengikuti drama berkenaan sehingga sanggup berjaga malam untuk menontonnya.

“Aduhai, macam-macam netizen ni. Saya pun dah terjebak dengan drama tersebut. Dua malam dah tidur lewat. Baru masuk episod ketiga,” katanya.

Dalam hantaran sama, Asyraf Wajdi turut menyertakan tanda pagar #YouTouchYouGo, yang sering digunakan beliau sebagai mesej tegas menolak budaya buli dan salah laku dalam institusi pendidikan.