Gara-gara elak anjing, anggota APM dalam perjalanan bertugas parah

4 Feb 2026 • 7:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota APM Bagan Datuk membantu mengeluarkan mangsa dari kenderaan yang dinaiki sebelum dihantar untuk menerima rawatan.
image is not available
Mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan akibat kemalangan terbabit.

BAGAN DATUK – Gara-gara mengelak seekor anjing melintas, seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bagan Datuk parah selepas kenderaan dinaikinya terbabas ketika dalam perjalanan bertugas di Jalan Simpang Empat–Bagan Datuk berhampiran Kampung Simpang 3 Rungkup, di sini, awal pagi Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.03 tengah malam itu, mangsa, Prebet (PA) Hafizul Borhan, 26, yang memandu sebuah Nissan Navara dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tiang dan merempuh sebatang pokok.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bagan Datuk, Kapten (PA) Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada orang awam sebelum menggerakkan empat anggota ke lokasi kejadian.

**media[3424266]**

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah melibatkan beberapa organ dalaman termasuk jantung, buah pinggang dan usus selain patah tujuh tulang rusuk, patah tangan kiri serta kedua-dua kaki.

“Anggota terbabit turut mengalami kecederaan di dahi, sakit di bahagian dada serta luka terbuka di bawah lutut.

“Anggota berkenaan dimasukkan ke dewan bedah pada jam 11.50 pagi dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam keadaan ditidurkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Fazly berkata, mangsa yang berasal dari Sungai Manila, Bagan Datuk itu dibawa ke Klinik Kesihatan Selekoh sebelum dipindahkan ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, waris mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut dan pihak APM akan terus memantau perkembangan kesihatan anggota berkenaan.