Garmin telah memperkenalkan jam tangan pintar terbaharu Quatix 8 di pasaran Malaysia. Jam tangam ini ditawarkan dalam dua pilihan saiz, iaitu 47mm dan 51mm. Selain itu, ia dilengkapi dengan skrin AMOLED 1.4 inci yang terang, dilindungi oleh kaca nilam tahan calar serta dibina menggunakan bingkai titanium yang tahan lama.


Bukan itu sahaja, jam ini turut melepasi piawaian ketenteraan dengan ketahanan terhadap haba dan hentakan. Ia juga dilengkapi sensor cahaya automatik serta lampu suluh LED yang menyokong mod cahaya merah untuk kegunaan pada waktu malam. Di samping itu, reka bentuk butang kalis bocor dan pelindung sensor yang disertakan memberi perlindungan tambahan ketika berada dalam keadaan ekstrem.


Jam tangan ini turut dilengkapi dengan pembesar suara dan mikrofon terbina dalam yang membolehkan pengguna menjawab panggilan telefon serta mengawal bot secara langsung dari pergelangan tangan. Ia juga kalis air sehingga kedalaman 40-meter menjadikannya pilihan ideal untuk aktiviti seperti selam skuba dan apnea.

Selain itu, fungsi kawalan suara tersedia menerusi sambungan Bluetooth apabila jam ini disambungkan kepada telefon pintar. Pelbagai aplikasi marin turut disediakan termasuk penggera pasang surut, amaran seretan sauh, serta pemasa untuk perlumbaan perahu kayuh. Bateri disediakan boleh berfungsi sehingga 16 hari penggunaan bagi satu pengecasan penuh.

Garmin Quatix 8 akan mula dijual di Malaysia pada pertengahan bulan Julai dengan harga bermula RM5720 bagi model bersaiz 47mm dan RM6240 bagi model 51mm.
