Gayong Tak Tiru IP Man, Beto Kusyairy Komen - “Setiap Negara Yang Dijajah Akan Ada Tokoh Heroik”

2 May 2025 • 1:55 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Pelakon, Beto Kusyairy tidak melihat filem terbaharu lakonannya iaitu Gayong sebagai ‘meniru’ konsep cerita yang dibawa dalam naskhah aksi biografi dari China, Ip Man seperti diperkatakan segelintir pihak.
 

Tak tiru Ip man


Menurut Beto atau nama sebenarnya NurKusyairy Zakuan Osman, 45, setiap negara jajahan termasuk Malaysia memiliki tokoh pahlawan sendiri yang perlu diangkat. 

“Kalau Gayong keluar dulu, Ip Man keluar kemudian, orang akan cakap filem itu macam Gayong. Sebenarnya setiap negara yang dijajah ini akan ada tokoh heroik. 

“Cuma Ip Man keluar dulu dan ia bertaraf antarabangsa, orang samakan. Setiap negara ada tokoh tidak kira sama ada Thailand, Indonesia atau mana-mana sekalipun. 


“Tapi, orang sudah melekat dengan imej Ip Man itu, bila tonton Gayong, orang akan cakap macam filem itu. Habis, semasa dijajah kita tak ada tokoh ke?,” jelasnya.



Beto berkata demikian ketika ditemui pada malam gala dan tayangan perdana filem Gayong di GSC Midvalley Megamall baru-baru ini.



Bawa watak tokoh heroik


Mengulas mengenai filem Gayong, Beto berkata, jalan cerita yang diketengkan adalah berdasarkan sejarah sebenar bagaimana Allahyarham Meor menentang penjajah Jepun.

“Semasa zaman Ip Man juga ada kisah berkenaan penjajahan Jepun dan sebagainya. Dalam Gayong ini juga begitu, memang betul kisah penjajahan Jepun.

“Allahyarham Meor datang menyelamatkan orang di Pasir Ria. Garis masa itu memang kita ikut tepat, cuma kita jadikan lebih dramatik untuk tujuan sinema. 


“Bagaimanapun, jauh sekali untuk merendahkan Allahyarham atau warisnya, malah kami 100 peratus mahu angkat nama beliau,” katanya.



Terdahulu, Beto diberi tanggungjawab menghidupkan watak pengasas seni bela diri, Silat Gayong, Allahyarham Datuk Meor Rahman menerusi filem Gayong.



Gayong iaitu naskhah biopik berkisar perjalanan awal pengasas seni bela diri Silat Gayong, Allahyarham Meor akan ditayangkan pada 8 Mei ini.



Filem arahan Faisal Ishak itu menampilkan pelakon handalan lain seperti Nabila Huda, Syafie Naswip, pelakon aksi popular dari Indonesia, Yayan Ruhian dan aktor Thailand, Chevanon Phukaokaew.