GDV RM304 juta: Rumah Idaman Bukit Jelutong bukti kerjasama strategik PNSB-Gagasan Nadi Cergas

08/08/2025 - 16:42
Projek Rumah Idaman Bukit Jelutong - Gambar Facebook Menteri Besar Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 8 Ogos – Inisiatif pemilikan rumah di Selangor terus menunjukkan kemajuan ketara apabila 1,260 unit kondominium Idaman Bukit Jelutong berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pemiliknya.
Projek itu adalah hasil kerjasama strategik antara Gagasan Nadi Cergas Berhad dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dalam usaha menyediakan rumah berkualiti tinggi pada harga berpatutan untuk golongan belia dan keluarga berpendapatan sederhana.
Pengerusi Gagasan Nadi Cergas, Ir. Dr. Muhamad Fuad Abdullah berkata, Idaman Bukit Jelutong adalah sebahagian daripada 15,000 unit rumah mampu milik yang dirancang syarikat itu bersama PNSB dalam tempoh lapan tahun dengan GDV keseluruhan RM4.1 bilion.
“Model reka dan bina yang kami gunakan bukan sahaja mempercepatkan pembangunan tetapi turut menjana pulangan dalam kedua-dua segmen pembinaan dan pembangunan hartanah,” katanya.
Majlis penyerahan itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini.
Projek berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif strategik kerajaan negeri untuk membina 60,000 unit Rumah Idaman menjelang 2027.
Terletak di kawasan seluas 10.5 ekar, projek itu mempunyai Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM304 juta yang merangkumi tiga blok kediaman bertingkat.
Setiap unit berkeluasan 1,000 kaki persegi lengkap dengan dua petak parkir dan perabot asas termasuk televisyen, peti sejuk, kabinet dapur, almari pakaian, pemanas air dan penghawa dingin yang menampilkan standard baharu dalam perumahan mampu milik moden di Selangor.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata, pihaknya komited untuk meneruskan pembangunan Rumah Idaman di lokasi strategik lain seperti Gombak, Klang, Kuala Selangor dan Petaling.
“Kerjasama dengan Gagasan Nadi Cergas mencerminkan visi bersama untuk menyediakan rumah berkualiti tinggi dalam persekitaran kehidupan yang lestari,” katanya.
Selain Idaman Bukit Jelutong, Gagasan Nadi Cergas kini sedang membangunkan tujuh lagi projek Rumah Idaman lain, termasuk di Kwasa Damansara, Bandar Elmina dan Bandar Rimbayu.- DagangNews.com
standard
