
KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Ziana Zain kekal dengan kadar bayaran persembahan seperti biasa meskipun kini bergelar Datuk, tanpa menjadikan pengiktirafan itu alasan untuk mengenakan bayaran yang lebih tinggi.
Ziana atau Siti Roziana Zain, 58, berkata, kadar bayaran yang ditetapkan ketika ini masih mengambil kira pengalaman dalam industri seni serta perubahan kos semasa.
Katanya, jumlah bayaran bagi setiap persembahan ditentukan berdasarkan keperluan penganjur, termasuk bilangan lagu yang diminta dan penggunaan khidmat pemuzik secara langsung atau minus one.
“Tidak ada. Saya masih mengekalkan harga yang relevan dengan zaman sekarang dan pengalaman kita. Gelaran itu sesuatu yang berbeza, menyanyi pula perkara lain.
“Sebut harga macam biasa, sama ada dua, tiga, empat atau lima lagu, dengan band, tanpa band atau minus one. Cuma kita akan naikkan harga mengikut peredaran semasa. Macam mana harga minyak naik, kita naik sikitlah,” katanya.
Ziana berkata demikian ketika ditemui semasa sidang media Konsert Sooka dan Konsert Vaganza di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur, di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, penyanyi lagu Madah Berhelah itu menjelaskan bahawa rundingan bersama penganjur sentiasa menjadi ruang untuk mencapai persetujuan terbaik, terutama apabila mengambil kira pelbagai perbelanjaan yang diperlukan bagi menjayakan sesuatu persembahan.
“Sekarang ini semua memerlukan kos. Mahu bersiap pun kita ada pasukan sendiri seperti jurugaya tudung, jurusolek dan penggaya fesyen.
“Dulu kita buat sendiri, tetapi sekarang perkara itu sudah menjadi kemestian. Setiap kali keluar, penampilan perlu sentiasa kemas dan menarik.
“Kita berkongsi rezeki dengan mereka. Perkara ini memudahkan kami sebagai penyanyi kerana hanya perlu berbincang mengenai warna dan rekaan pakaian yang sesuai, selebihnya mereka akan uruskan,” katanya.
Dalam pada itu, Ziana mengakui aspek penampilan menjadi antara perkara yang diberi perhatian setiap kali membuat persembahan, termasuk memastikan pemilihan pakaian selari dengan konsep acara dan pencahayaan pentas.
Ujarnya, penampilan yang kemas bukan sekadar melengkapkan persembahan, malah menjadi salah satu cara menghargai peminat yang sentiasa merakam serta mengabadikan perjalanan seni seseorang penyanyi.
“Penyanyi perlu menjaga penampilan. Kita bersiap dan menyanyi dengan baik sebenarnya sebagai tanda terima kasih kepada peminat.
“Gambar-gambar itu menjadi koleksi dan arkib mereka. Kadang-kadang kita sendiri tak ingat pakaian yang pernah dipakai, tetapi peminat masih ingat dan boleh membandingkannya.
“Selain bakat, imej juga sangat penting dan tidak boleh dipandang remeh. Kita sayangkan kerjaya ini, jadi kita mahu semuanya dari hujung rambut hingga hujung kaki nampak sempurna,” katanya.
The post Gelaran Datuk bukan alasan naikkan bayaran persembahan – Ziana Zain appeared first on Utusan Malaysia.






