
MARSHA mengakui gelaran ‘Ratu Borneo’ yang diberikan kepadanya oleh sesetengah peminat hadir bersama tanggungjawab yang besar.
Pemilik nama lengkap Marsha Milan Londoh itu berkata gelaran terbabit bermaksud dia tidak setakat membawa nama dan identiti Sabah dan Sarawak.
“Secara jujurnya, ya, ia memang satu tanggungjawab yang berat sebab bila kita sebut Borneo, ia bukan hanya merujuk kepada Sabah dan Sarawak sahaja.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Saya sangat bersyukur dan terharu dengan gelaran itu. Pada masa sama, ia juga menyuntik semangat untuk saya terus berkarya dengan pelbagai cara dengan variasi yang beri warna dalam industri,” katanya selepas sesi pra-dengar album terbarunya, Misompuru, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dengan misi mengangkat muzik Borneo ke pentas dunia, Marsha menyifatkan Misompuru sebagai satu langkah awal untuk memperkenalkan ‘DNA’ dirinya sebagai anak seni yang membawa budaya dan identiti tersendiri.
“Bukan bermaksud saya akan hasilkan lagu-lagu seperti ini sahaja selepas ini. Sudah tentu akan ada pelbagai jenis lagu lain juga.
“Tapi album ini adalah cara saya untuk memperkenalkan sisi lain diri saya, sisi yang mungkin belum pernah didengari oleh peminat dan mereka yang selalu dengar lagu saya sebelum ini.
“Dalam industri muzik, saya rasa penting untuk ada kelainan. Jadi inilah cara saya memberi warna dalam muzik saya,” katanya.
Selepas muncul sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) awal tahun ini, Misompuru bukan sahaja mengukuhkan langkah Marsha dalam bidang nyanyian arus perdana, malah membuka peluang untuknya menembusi pentas antarabangsa.
Pada Jun lalu, penyanyi bersuara lunak itu diundang mewakili Malaysia ke Round Asean-Korea Music Festival 2025, bersama barisan artis ternama serantau dalam meraikan muzik dan bakat Asean.
Pada acara itu, Marsha membawakan lagu-lagu daripada Misompuru sebagai wakil genre Borneo Pop dan simbol identiti seni serta budaya Borneo.
Terdahulu pada April, poster Marsha juga terpapar di New York Times Square Amerika Syarikat sebagai Ikon Equal Spotify, artis Sabah pertama yang mendapat pencapaian itu.
Misompuru, berasal daripada bahasa Dusun yang bermaksud “keramaian” dalam Bahasa Melayu, merupakan penghormatan dan surat cinta Marsha kepada tanah kelahirannya, Borneo.
Album terbabit mengangkat suara Borneo, satu genre yang jarang diketengahkan dalam industri muzik arus perdana, menjadikannya sebuah karya yang segar dan unik.
Pelantun lagu Sumandak Sabah itu juga berkata dia tidak menolak kemungkinan lagu-lagu dalam Misompuru dibawa ke pentas yang lebih besar.
“Saya percaya ia bukan sesuatu yang mustahil. Sebenarnya, saya sendiri sudah ada beberapa lagu dalam senarai yang saya sasarkan untuk diketengahkan ke pentas yang lebih besar.
“Daripada lima lagu dalam album Misompuru, saya rasa Pelangi Pasti berpotensi untuk pergi lebih jauh kerana melodinya yang mesra pendengar dan mudah diterima.
“Itu antara sasaran saya juga. Insya-Allah, kalau ada rezeki, saya akan cuba membawa lagu-lagu ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Marsha berkata penghasilan Misompuru merupakan impiannya sejak sekian lama.
“Saya memang teringin untuk hasilkan album penuh berbahasa Sabah dan akhirnya impian itu menjadi kenyataan. Saya rasa sangat bertuah kerana diberi peluang untuk berkenalan dan bekerjasama dengan komposer hebat.
“Kenapa tajuknya Misompuru? Sebab sebagai seorang artis, nadi utama saya ialah keluarga, sahabat dan semua yang sentiasa menyokong saya. Bila kita semua berkumpul, tenaga yang terhasil itu luar biasa. Dan itulah semangat yang saya ingin sampaikan melalui album ini.
“Lagu-lagu dalam Misompuru juga dipilih sendiri oleh saya dengan setiap satu membawa rasa yang sesuai dengan pelbagai suasana keramaian, tak kira sama ada liriknya dianggap kontroversi atau tidak.
“Saya benar-benar menikmati proses pembikinan album ini dan rasa sangat seronok sepanjang perjalanan tersebut. Terima kasih kepada semua komposer yang terlibat,” katanya lagi.
Merupakan penghormatan dan surat cinta Marsha kepada tanah kelahirannya, album Misompuru menampilkan elemen nostalgia, kekuatan, ketabahan serta kerinduan kepada kampung halaman.
Terinspirasi daripada irama, gaya serta cita rasa muzik tempatan Sabah dan Sarawak, Misompuru disasarkan menjadi karya yang sentiasa dirindui dan didengari oleh anak Borneo, tidak kira di mana mereka berada.
Mengulas lanjut, Marsha berkata dia mula ‘merisik’ rakan-rakan komposer untuk menghasilkan lagu dalam Misompuru sejak Oktober tahun lalu.
“Dari situ, saya beri mereka masa untuk hasilkan lagu sampai November. Tapi bukan semua yang bagi.
“Lagu pertama yang saya terima ialah Lintah Darat, diikuti Nalan-Nalan kemudian Pelangi Pasti.
“Pelangi Pasti sebenarnya saya terima kira-kira tiga minggu sebelum Anugerah Juara Lagu (AJL). Lagu terakhir sekali ialah Santai Saja, yang datang dalam masa lebih kurang seminggu lebih sebelum AJL juga.
“Kenapa ambil masa agak lama? Sebab pada awalnya, kami agak buntu mahu mencari arah dan bentuk lagu yang sesuai dengan lirik yang saya hasilkan,” katanya.
Marsha menambah menerusi Misompuru dia cuba membawakan teknik nyanyian yang berbeza-beza.
“Yang saya faham, dia macam ‘canting’ sikit. Ia meluas, tapi saya bawa lagu-lagu ini dengan cara saya sendiri.
“Apa yang saya tekankan lebih kepada bunyi dan susunan muzik yang berat kepada unsur budaya, berbanding lenggok atau gaya nyanyian sepenuhnya.
“Saya mahu pendengar dapat rasa dan menghargai elemen alat muzik tradisional yang digunakan dalam susunan lagu-lagu ini.
“Saya rasa lagu Lintah Darat adalah yang paling mencabar dari segi vokal sebab struktur melodi lagu ini saya gambarkan macam ‘spring’. Jadi dari segi teknikal, memang agak sukar untuk dibawakan,” katanya.
Majlis pradengar album Misompuru bukan sekadar meraikan peminat dalam suasana eksklusif dan intim, tetapi turut menjadi satu pengalaman budaya yang imersif dan interaktif apabila menyatukan elemen muzik, seni serta tradisi Borneo dalam satu ruang.
Selain persembahan langsung kesemua lagu dalam Misompuru bersama rakan duet asal, peminat juga dapat menyaksikan demonstrasi dan tarian kebudayaan interaktif seperti Magunatip, Sumpit dan Sumazau, serta menikmati sajian makanan dan minuman tradisional Borneo.
Album Misompuru memuatkan lima lagu termasuk Nalan-Nalan bersama Alena Murang, Lintah Darat (bersama Velvet Aduk), Pelangi Pasti, Santai Saja dan Hey Aramai Ti (bersama Datuk Francis Landong).
