Gelaran selayaknya, anak seni kebanggaan negara

LocalEntertainment
12 Sep 2026 • 9:23 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Gelaran selayaknya, anak seni kebanggaan negara

SELEBRITI kini bukan sekadar tentang gelaran kemasyhuran, sebaliknya turut membawa tanggungjawab besar yang membawa impak positif kepada khalayak.

Sama ada pelakon, penyanyi, pemuzik dan penggiat dalam cabang seni lain, setiap individu memikul amanah, malah paling membanggakan apabila negara mempunyai pengkarya yang bagus serta berani membuktikan kemampuan mereka melangkaui jangkaan.

Daripada lakonan, muzik dan teater hinggalah dunia perniagaan, mereka tampil dengan identiti tersendiri serta terus mencuri perhatian menerusi karya serta pencapaian membanggakan negara.

Minggu ini, Gala merangkumkan personaliti popular berjasa yang mengikuti jejak bintang senior terdahulu apabila diberikan gelaran kehormat iaitu Darjah Kebesaran Negeri atau peringkat Persekutuan.

  • Ziana Zain

PENGHIBUR kesayangan ramai ini berkecimpung dalam industri seni selama lebih tiga dekad sejak 1989 dan melancarkan album sulungnya dua tahun kemudian, Madah Berhelah.

Perjalanan seni pemilik nama lengkap, Siti Roziana Zain, 58, itu sangat panjang terutama dalam arena nyanyian serta lakonan yang membuktikan bakat istimewanya.

Jika diselak alur perjalanan anak kelahiran Kampung Sempang, Merlimau, Melaka itu, banyak penghargaan diraih Ziana yang juga merupakan portfolio sebagai penghibur disegani ramai.

Penyanyi itu menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.) sempena Hari Jadi ke-77 Yang Dipertua Negeri Melaka pada 24 Ogos 2026 yang membawa gelaran Datuk pada 24 Ogos lalu.

  • Sheila Majid

SELEPAS empat dekad menempa nama dalam industri muzik tanah air serta di negara jiran, penyanyi Sheila Majid kini secara rasmi bergelar Datuk Seri.

Penghormatan itu diterima beliau selepas dikurniakan darjah kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP), pada 1 Ogos lalu.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan SSAP kepada Sheila atau nama penuhnya Shaheila Abdul Majid, 61, dalam istiadat yang berlangsung di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz.

Sheila terdahulu menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk sempena Ulang Tahun Hari Lahir ke-78 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang pada 24 Oktober 2008. 

  • Allahyarham Nordin Ahmad 

Bintang filem legenda ini dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N.) Pulau Pinang yang membawa gelaran Datuk secara anumerta Julai lalu. 

Penganugerahan itu diberikan 55 tahun selepas pemergiannya sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau kepada industri perfileman negara. 

Anugerah kepada tokoh perfileman Melayu oleh Kerajaan Pulau Pinang itu bersempena Ulang Tahun ke-85 Yang di-Pertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib.

Allahyarham mencapai kemuncak populariti dalam era 1950-an hingga 1960-an melalui filem-filem klasik Melayu keluaran Malay Film Productions (MFP) dan Cathay-Keris Film Productions. 

  • Eman Manan

Aktor versatil, Eman Manan sememangnya berada dalam kelas tersendiri dan antara pelakon berwibawa yang mewarnai industri seni tanah air menerusi pelbagai watak dalam drama, filem dan karya televisyen sepanjang lebih empat dekad kerjayanya.

Eman, 68, memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) sebanyak tiga kali, termasuk menerusi filem pertamanya, Matinya Seorang Patriot (1984), Bintang Malam (1991), dan Buai Laju-Laju (2004).

Pelakon veteran itu menerima Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T.) sempena Ulang Tahun Ke-64 Hari Keputeraan Sultan Terengganu pada 6 September 2026, sekali gus bergelar Datuk.

Penganugerahan berkenaan menjadi satu lagi pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang seni yang telah diceburinya selama bertahun-tahun.

The post Gelaran selayaknya, anak seni kebanggaan negara appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved