
PENYANYI terkenal, Datuk Ziana Zain meluahkan rasa syukur apabila lebih tiga dekad perjalanan dalam industri seni akhirnya mendapat pengiktirafan menerusi penganugerahan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk.
Menerusi temu ramah bersama media, pemilik nama Siti Roziana Zain itu sebak. Dalam pada meluahkan rasa bahagia, Ziana turut mengakui terselit kesayuan apabila kedua-dua ibu bapanya sudah tiada untuk menyaksikan sendiri detik bersejarah itu.
Sekadar info, ibunya, Allahyarham Robiah Abdul meninggal dunia pada 24 Disember tahun lalu manakala bapanya, Allahyarham Zain @ Zin Abdullah pula menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun pada 26 Ogos tahun yang sama. “Rasa sedih juga sebab kedua-dua ibu bapa saya tak dapat tengok. Itu yang saya sedih.
“Lain, saya syukur. Alhamdulillah,” katanya.
Dalam pada itu, Ziana, 58, penghargaan tersebut cukup bermakna kerana diterima dari negeri kelahirannya sendiri, Melaka.
“Alhamdulillah. Syukuranbillah, rezeki ALLAH bagi. Dah selepas lebih 30 tahun kita berjuang dalam bidang seni ini, akhirnya kita diiktiraf.
“Lebih-lebih lagi daripada tempat kelahiran kita sendiri. Sangat berbesar hati, sangat berbangga dan sangat bersyukur,” katanya.

Bagi pelantun lagu Madah Berhelah itu, pengiktirafan berkenaan bukan sekadar penghargaan terhadap perjalanan seninya, sebaliknya dianggap sebagai satu amanah dan tanggungjawab kepada peminat serta masyarakat.
“Sebab anugerah ini bukan saja menentukan orang kata bakti. Tapi bagi saya, apa yang saya buat ini adalah tanggungjawab saya kepada peminat saya, kepada orang ramai.
“Tapi saya sangat bersyukur,” ujarnya.
Ziana turut menegaskan bahawa walau di mana sahaja dirinya berada, nama Melaka akan sentiasa dibawa dan menjadi sebahagian daripada identitinya.
“Di mana saya berada pun, walaupun saya pergi ke mana pun, kalau orang tanya, saya tetap akan bawa nama.
“Nama Melaka tu di mana? Melaka di hati kita. Di mana kita dilahirkan, di situlah kita.
“Jangan lupa, di mana kita dilahirkan, di mana bumi dipijak, di situlah kita,” katanya.
Mengulas mengenai gelaran datuk yang kini disandang, Ziana secara berseloroh mengakui dirinya masih memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan panggilan baharu tersebut.
“Selepas ini, dari gelaran Datuk sendiri, macam mana orang kata? Nak biasakan itu, mungkin saya ambil masa untuk biasakan.
“Itulah, saya sekarang ini pun tak tahu nak kata macam mana. Macam mimpi pun ada.
“Tapi saya sangat-sangat bersyukur. Alhamdulillah,” katanya.
Ziana terdahulu menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk pada istiadat kurniaan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-77 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.
Sumber: Instagram






