
MESKI pada awalnya rancak dikecam, drama Cela terbitan Viu berjaya mendapat tempat dalam hati kalangan pencinta naskhah tempatan.
Ditayangkan menerusi platform Viu sejak 20 Ogos lalu, drama 12 episod itu mampu menggoyahkan emosi sesiapa sahaja yang menonton, sarat dengan babak suspens dan sedih.
Drama arahan Feroz Kader itu mengisahkan Kaer lakonan Hun Haqeem yang terjebak dengan hubungan bersama Datuk Anees (Nabila Huda) selepas kematian bapanya.
Gabungan lakonan mantap mereka berdua memang berani dan menjadi, terutamanya dengan plot twist serta konflik cinta terlarang dan dendam keluarga yang sangat mendebarkan. Malah, lakonan profesional mereka dalam menghidupkan watak masing-masing berjaya membuatkan ramai penonton ikut sama terasa aura debaran dan ‘gelisah’ setiap kali episod baharu ditayangkan.
Situasi mula berubah dan tegang selepas Kaer mengetahui kebenaran menyakitkan apabila mendapati Anees mempunyai kaitan dengan tragedi yang memusnahkan keluarganya. Selain Nabila dan Hun, Cela turut menampilkan Zarif Ghazzi, Ellyza Azizi, Datuk Seri Eizlan Yusof, Lisdawati dan Zain Saidin.
The post Gelisah tengok Cela, suspens betullah cinta Hun, Nabila appeared first on Kosmo Digital.

