
KUALA LUMPUR: Pelakon, Nabila Huda menegaskan adegan mesra dalam drama Cela yang mungkin kurang disenangi segelintir penonton dilakukan atas dasar profesionalisme serta mengikut tuntutan naskhah.
Nabila yang mesra disapa Abil berkata, setiap adegan yang membabitkan interaksi fizikal bersama pelakon Hun Haqeem mempunyai batasan tertentu dan melalui proses latihan sebelum penggambaran dijalankan.
“Apabila melakonkan Cela saya adalah Datuk Anees, bukan Nabila Huda. Saya pasti semua penonton tahu mengenai perkara itu.
“Setiap interaksi fizikal dalam babak itu ada sebab, konteks dan arahan. Bukan saya pergi ke set suka-suka mahu sentuh anak orang. Tentunya ada batasan dan kami semua profesional.
“Kami berbincang, berlatih dan tahu apa yang diperlukan dalam babak itu. Apabila kamera mula merakam, apa yang anda lihat adalah interaksi antara watak Anees dan Kaer. Setiap sentuhan itu mempunyai niat dan sebab di sebalik babak berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Mengulas keserasian bersama Hun Haqeem, pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-38 itu mengakui pada awalnya wujud rasa gementar memandangkan Cela merupakan kerjasama pertama mereka, selain naskhah berkenaan cukup mencabar.
“Mula-mula memang rasa kekok dan gementar. Hun pun sangat gementar. Tetapi apabila kami sudah memahami babak dan mengetahui batasan masing-masing, ia menjadi satu tanggungjawab kerja.
“Disebabkan kami selesa dan mempunyai kepercayaan antara satu sama lain, keserasian antara Anees dan Kaer menjadi sangat organik. Ia bukan semata-mata fizikal, tetapi bagaimana mereka memandang satu sama lain, ketegangan serta permainan kuasa yang membuatkan hubungan itu menarik,” jelasnya.
Kongsi Abil lagi, drama Cela yang mengangkat subgenre romantik gelap mengetengahkan kisah cinta terlarang, selain memperlihatkan bagaimana manipulasi boleh berlaku dalam hubungan yang melibatkan individu mempunyai kuasa lebih besar.
“Anees seorang yang pandai memanipulasi segala-galanya, tetapi dia tidak mampu memanipulasi perasaannya terhadap Kaer. Saya fikir dia sendiri tidak sedar mengenai perkara itu kerana cinta kadangkala hadir tanpa meminta izin.
“Saya tidak melabel Anees sebagai ‘groomer, sebaliknya seorang ‘manipulator’ kerana wujud dinamik kuasa dalam hubungannya dengan Kaer. Sebagai pelakon, saya tidak mendekati watak dengan satu sudut sahaja, sebaliknya cuba memahami mengapa dia melakukan perkara tersebut,” katanya.
Drama Cela arahan Feroz Kader itu mengandungi 12 episod dan mula ditayangkan pada 20 Ogos 2026 menerusi platform penstriman Viu. -UTUSAN
The post Bukan suka-suka mahu sentuh anak orang – Nabila Huda ulas babak drama Cela appeared first on Utusan Malaysia.






